POLIS telah menyita sebuah lori pasir yang tidak menurunkan ruang muatan kenderaannya sehingga mengakibatkan bak lori itu merempuh lampu isyarat di Pekan Nanas, Pontian hari ini.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku jam 2.50 petang membabitkan sebuah lori pasir dipandu lelaki warga tempatan berusia 53 tahun dalam perjalanan dari arah Pontian ke Pekan Nanas.
Katanya, pemandu mendakwa tidak menyedari bak lori dipandunya terangkat dan tanpa sedar melanggar kabel elektrik lampu isyarat.
“Dalam kejadian itu, pemandu lori tidak mengalami kecederaan, gambar rajah kasar di lokasi serta rakaman keterangan majikan dan pemandu telah diambil.
“Saringan air kencing terhadap pemandu didapati negatif, kenderaan berkenaan disita untuk tujuan siasatan, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Video kemalangan itu tular dalam media sosial berdurasi satu minit 15 saat, memaparkan ruang muatan lori pasir yang tidak diturunkan itu merempuh kabel elektrik di lampu isyarat di Pekan Nanas.
Dalam video itu kedengaran suara pengguna jalan raya menjerit kepada pemandu lori untuk memberi amaran sebelum lori yang dipandu merempuh kabel elektrik lampu isyarat.
Hadzrat Hussein berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.



