CO-OPBANK Pertama (CBP) terus mencatatkan prestasi kewangan positif apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM131.13 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, tahun lalu.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan 5.6 peratus berbanding keuntungan RM124.20 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2024.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, pencapaian tersebut diraih walaupun institusi kewangan berdepan ketidaktentuan pasaran global sepanjang tahun lalu.
“Selain peningkatan keuntungan, jumlah aset bank itu turut berkembang sebanyak 12.8 peratus daripada RM12.84 bilion kepada RM14.48 bilion.
“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dana pemegang syer CBP turut menunjukkan peningkatan sekitar tujuh peratus daripada RM1.92 bilion kepada RM1.94 bilion,” katanya pada sidang media di Wisma Co-opbank Pertama di Kampung Bharu, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan CBP merancang melancarkan sukuk sulungnya pada suku kedua 2026 dengan nilai sasaran antara RM400 juta hingga RM1 bilion, bergantung kepada keadaan pasaran, keperluan pelabur serta kedudukan kecairan bank.
“CBP juga akan terus memperkukuh jenamanya melalui pengenalan beberapa produk dan perkhidmatan baharu termasuk Pembiayaan Auto-i serta Takaful Travel bagi memperluas penawaran kepada pelanggan.
“Langkah berkenaan diyakini mampu meningkatkan daya saing CBP dalam industri kewangan negara melalui penawaran produk dan perkhidmatan pada kadar yang kompetitif,” katanya.
Mengulas faktor yang menyumbang kepada prestasi tersebut, Khairil Anuar berkata, pertumbuhan kukuh perniagaan perbankan runcit, khususnya pembiayaan peribadi pengguna, menjadi penyumbang utama kepada peningkatan keuntungan bank.
“Segmen perniagaan Ar-Rahnu turut mencatat sumbangan signifikan dari segi keuntungan serta pendapatan berasaskan fi, manakala portfolio pembiayaan perumahan menunjukkan peningkatan ketara daripada kira-kira RM400 juta kepada hampir RM700 juta,” katanya.


