Polis temui Proton Wira suspek bunuh lelaki 29 tahun

POLIS menemukan kereta Proton Wira sedan berwarna hitam bernombor pendaftaran WGX 3707 yang dipercayai digunakan seorang suspek kes bunuh selepas menikam mati seorang lelaki berusia 29 tahun dalam kejadian di Jalan Trans Perak, Pasir Salak.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, kenderaan berkenaan ditemui di Batu Gajah pagi ini hasil operasi mengesan suspek yang dilancarkan sejak semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha memburu suspek berusia 30 tahun itu masih diteruskan.

“Kenderaan yang dilarikan itu ditemukan di Batu Gajah di tepi jalan. Usaha mengesan lelaki berkenaan sedang dijalankan,” katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.

Semalam, polis melancarkan operasi memburu suspek selepas menerima maklumat berhubung kejadian tikam yang mengorbankan seorang lelaki tempatan kira-kira jam 5.49 pagi.

Hafezul berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat ditikam ketika berlaku pertengkaran dengan suspek yang sudah dikenal pasti identitinya.

“Mangsa kemudian dibawa ke sebuah klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai melarikan diri sejurus selepas kejadian dengan menaiki Proton Wira sedan berwarna hitam berkenaan.

Difahamkan, perasaan cemburu dipercayai menjadi motif di sebalik kejadian yang membawa kepada kematian mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan S. Murugan di talian 012-6992784 atau Inspektor Muhammad Aminuddin Haiqal Mohamed Masnani di talian 019-6751267 bagi membantu siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img