KEMUNCULAN dadah sintetik baharu dikenali sebagai ‘Piu Piu’ yang dikesan dicampurkan ke dalam cecair rokok elektronik membimbangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga mengulangi pendirian supaya penggunaan vape diharamkan sepenuhnya di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dadah berkenaan mengandungi campuran Fentanyl dan bahan kimia psikoaktif yang boleh menyebabkan pengguna mengalami khayal melampau sehingga berada dalam keadaan seakan-akan ‘zombi’.
Menurutnya, penggunaan vape kini semakin tersasar daripada tujuan asal dan disalahgunakan oleh sindiket pengedaran dadah sebagai medium baharu untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Isu utama pada masa ini bukanlah sama ada vape itu merupakan satu peluang perniagaan untuk golongan tertentu atau tidak, tetapi isunya adalah alat itu disalahgunakan secara berbahaya dengan dicampurkan bersama dadah baharu atau New Psychoactive Substances (NPS).
“Vape kini sudah menjadi satu kebanggaan kepada golongan remaja, jadi kita perlu sekat gejala ini dari awal.
“Banyak negara luar sudah pun mengharamkannya, oleh itu Malaysia juga perlu mempunyai kehendak politik untuk membanterasnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Lawatan Hospital sempena Peringatan Hari Polis Ke-219 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.
Ayob Khan berkata, PDRM secara konsisten menyokong cadangan pengharaman vape kerana bimbang ia menjadi medium penyebaran dadah sintetik baharu yang semakin sukar dikesan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan polis tidak mempunyai kuasa mutlak untuk melaksanakan larangan berkenaan kerana ia turut membabitkan bidang kuasa kementerian dan agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan (KKM).
Sehubungan itu, katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus memperhebat pemantauan dan operasi penguatkuasaan berskala besar terhadap premis yang menjual vape.
“Ia termasuk pemantauan dan operasi penguatkuasaan terhadap premis yang menjual vape bagi mengekang penularan dadah baharu berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan JSJN menahan enam lelaki termasuk pembekal vape yang disyaki mengandungi dadah susulan penularan beberapa video di media sosial memaparkan individu berada dalam keadaan khayal dan menghisap vape secara keterlaluan.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius penyalahgunaan vape yang dikhuatiri menjadi medium normalisasi budaya penyalahgunaan bahan terlarang serta gaya hidup tidak sihat.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan terdapat vape yang dicampur bahan berbahaya atau dadah sintetik yang boleh mengancam keselamatan pengguna.






