POLIS menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan dalangnya bersama tiga lagi individu dalam serbuan di sebuah apartmen di Aliff Height, Johor Bahru, Isnin lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek utama lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan bersama dua lagi lelaki serta seorang wanita berusia 22 tahun yang juga teman wanitanya.
Menurutnya, serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah seberat 12.95 kilogram dianggarkan bernilai RM1.8 juta.
“Selain itu, turut dijumpai 15 paket dadah disyaki MDMA seberat lebih 11 kilogram, 13 paket disyaki serbuk ekstasi seberat 342 gram; 20 gram disyaki ketamin, 110 gram disyaki syabu dan lebih 560 gram atau 1,796 pil disyaki Erimin 5.
“Kita turut merampas pelbagai peralatan membungkus semula dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas sebuah Volkswagen Golf di parkir apartmen itu menemui tiga paket ketamin seberat 240 gram.
“Siasatan lanjut ke atas kereta suspek ini kita mendapati ia adalah kereta ‘scrap’ dan nombor pendaftarannya adalah milik Perodua Myvi.
“Selain barangan yang dirampas, kita turut menyita sebuah Honda Jazz, sebuah kereta BMW dan wang tunai RM1,600 dan SGD100 (RM310),” jelasnya.
Menurut beliau, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan menjadikan unit apartmen itu sebagai lokasi membungkus semula dadah sebelum dijual atau diedarkan kepada pasaran mereka.
“Rampasan ini dianggarkan boleh digunakan oleh 43,726 penagih jika terlepas ke pasaran,” katanya.
Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati tiga suspek positif Benzodiazepine manakala seorang lagi positif ketamin.
“Ketua sindiket mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan semua suspek direman tujuh hari bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


