Angkatan Muda Harapan gesa PH nilai semula kerjasama dengan BN

PIMPINAN Angkatan Muda Harapan (AMH) hari ini menggesa Pakatan Harapan (PH) menilai semula kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), sambil menegaskan gabungan itu tidak boleh dilihat menjadi ‘pendinding’ kepada sekutunya berhubung pelbagai isu lampau.

Jelas pemimpinnya, keadaan itu akhirnya boleh melemahkan dan memburukkan imej PH sendiri ketika perkembangan politik semasa menuntut penelitian semula terhadap bentuk, mekanisme dan masa depan kerjasama kedua-dua gabungan.

“Pakatan Harapan tidak boleh dilihat menjadi ‘pendinding’ kepada BN dalam pelbagai isu lampau yang akhirnya melemah dan memburukkan imej Pakatan Harapan sendiri,” menurut kenyataan bersama dikeluarkan AMH.

Kenyataan dikeluarkan Ketua AMH, Woo Kah Leong; Ketua Pemuda PKR, Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Hasbie Muda.

AMH turut berpandangan kerjasama politik tidak boleh dibina semata-mata atas perkiraan angka, sebaliknya perlu berasaskan kepercayaan, rasa hormat dan komitmen terhadap prinsip bersama.

Mereka turut mendesak PH di semua negeri diberikan ruang menyatakan pandangan dan menilai semula dinamika kerjasama dengan BN mengikut keadaan politik di negeri masing-masing.

AMH turut menuntut tindakan tegas terhadap sebarang dakwaan skandal, salah guna kuasa, penyelewengan atau konflik kepentingan membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat milik kerajaan serta entiti yang menggunakan wang awam, tanpa mengira kedudukan politik pihak terlibat.

Dalam soal demokrasi, kumpulan itu menggesa reformasi terhadap Akta Perhimpunan Aman diteruskan bagi memastikan hak rakyat berhimpun, mengkritik kerajaan dan menyatakan bantahan secara aman dilindungi.

AMH turut mencadangkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang memperoleh CGPA 4.0 dan pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan keputusan Mumtaz diberi keutamaan mengemukakan tiga pilihan utama institusi pengajian tinggi awam, dengan pertimbangan mendapatkan salah satu pilihan itu tertakluk kepada syarat program, kapasiti tempat dan bidang pengajian.

Dalam isu subsidi, AMH mahu kerajaan menaikkan semula had kelayakan BUDI95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, khususnya bagi mereka yang bergantung kepada kenderaan persendirian untuk bekerja, berniaga dan mengurus keluarga.

Ia juga mahu mekanisme Budi MADANI Diesel dinilai semula supaya lebih adil dan mudah difahami, serta mengelakkan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan tercicir akibat proses pendaftaran atau penetapan kelayakan.

Menurut AMH, lima tuntutan itu mencerminkan kehendak rakyat untuk melihat tindakan dalam soal subsidi, perlindungan wang awam, penguatkuasaan tanpa pilih kasih, kerjasama politik berasaskan prinsip serta peluang pendidikan anak muda.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here