PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin, telah membincangkan pelbagai aspek kerjasama dua hala, termasuk potensi memperkukuh hubungan dalam sektor tenaga yang merupakan antara bidang strategik bagi kedua-dua negara.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalan kenyataan berkata, kedua-dua pemimpin turut menyentuh usaha memperluas kerjasama ekonomi termasuk menghargai ketetapan Persekutuan Rusia memberikan kerjasama jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak.
‘’Mereka juga bertukar pandangan mengenai peluang memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan farmaseutikal,’’ kata kenyataan itu.
Menurut PMO, perbincangan turut merangkumi usaha memudah cara pergerakan rakyat melalui pemansuhan visa, serta penerokaan mekanisme bagi memperluas perdagangan danpelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan (Ringgit dan Ruble).
‘’Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara, termasuk melalui kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga demi kepentingan rakyat serta kemakmuran negara,’’ kata kenyataan itu.






