Presiden wanita pertama Malaysian Institute of Accountants (MIA), Saniza Said, dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Surat pelantikan itu disampaikan oleh Dekan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Prof Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor kepada Saniza dalam satu kunjungan hormat delegasi FPE UPSI ke firma audit Saniza & Co di Seberang Jaya.
Menurut Mohd Asri, pelantikan Saniza sebagai Profesor Adjung mengambil kira kepakaran profesional, kepimpinan di peringkat nasional serta pengalaman luas beliau dalam industri perakaunan.
“Beliau yang juga Presiden MIA ke-16 mempunyai lebih 26 tahun pengalaman dalam bidang audit, percukaian, tadbir urus serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Saniza merupakan Akauntan Bertauliah MIA serta ahli Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), Persatuan Akauntan Cukai Malaysia (MATA), Association of Malay Chartered Accountant Firms (AMCAF) dan Persatuan Setiausaha Bumiputera Utara (SUTERA).
“Selain itu, beliau turut diiktiraf sebagai ASEAN Chartered Professional Accountant (ASEAN CPA).
Tambah Mohd Asri, pelantikan itu dijangka memperkukuh hubungan strategik antara FPE UPSI dan Saniza & Co, khususnya dalam menyokong aktiviti pengajaran, penyelidikan serta pembangunan akademik.
“Pengalaman dan pengetahuan praktikal yang dimiliki Saniza berpotensi dimanfaatkan dalam pembangunan kurikulum, perkongsian kepakaran industri serta penyediaan peluang latihan industri kepada pelajar, sekali gus menyumbang kepada usaha melahirkan graduan yang lebih kompeten dan memenuhi keperluan pasaran kerja,” ujar beliau.
Dalam kunjungan berkenaan, satu sesi perbincangan turut diadakan bagi mengenal pasti potensi kolaborasi strategik antara kedua-dua pihak.
Turut mengiringi kunjungan hormat itu ialah Ketua Jabatan Perakaunan dan Kewangan FPE UPSI, Prof Madya Dr. Mohd Faizal Basri, bersama pensyarah jabatan berkenaan iaitu Prof Madya Dr. Hazianti Abdul Halim dan Dr. Mohamad Hafiz Rosli.


