PAS mungkin ikhlas dalam kenyataan Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung perundingan kerusi dalam Pilihan Raya (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini dengan Barisan Nasional (BN).
Malam tadi, Abdul Hadi berkata, partinya sedang berunding agihan kerusi dengan Barisan Nasional (BN).
Katanya, setakat ini Pas pada dasarnya setuju BN mempertahankan 14 kerusi disandang, manakala Pas kekal bertanding di tiga kerusi dimenanginya sebelum ini.
Beliau berkata, baki 17 kerusi lagi akan dimuktamad menerusi rundingan bersama parti itu.
“Ya…kita sedang berusaha bekerjasama dengan BN dan pada peringkat awal lagi kita telah berusaha kerjasama untuk mengambil alih kerajaan melalui akaun berkanun (SD), namun malangnya dua ADUN Bersatu menarik diri,” katanya lapor Sinar Harian.

BAGAIMANAPUN hari ini, Pengerusi BN Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu tidak mempunyai sebarang kerjasama yang dimuktamadkan dengan Pas bagi menghadapi PRN tersebut.
Katanya sebarang perbincangan yang mungkin berlaku setakat ini hanya bersifat persefahaman dan bukan persetujuan muktamad.
“Apa yang dinyatakan itu tidak semuanya harus diterima sebagai satu kenyataan tepat kerana kita tidak ada sebarang perjanjian dengan Pas. Kalau ada perbincangan pun, sekadar ‘understanding’ atau persefahaman.
“Kita tidak memuktamadkan sebarang perbincangan itu,” katanya di Kuala Lumpur.
Ahmad Zahid berkata BN mengambil pendekatan tidak terlalu yakin dengan kenyataan pemimpin Pas kerana pendirian parti itu boleh berubah mengikut perkembangan politik.
Beliau merujuk pengalaman pada PRN Johor apabila kenyataan dibuat Pas sebelum hari penamaan calon didakwanya berbeza dengan keadaan sebenar pada hari pengundian.
“Jadi, jangan positif sangatlah dengan mereka ini. Kita harus bersangka baik sahaja, tetapi jangan terlalu positif. Mereka boleh tukar ‘goal post (tiang gol)’ bila-bila masa,” katanya.
DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi. Pada PRN 2023, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi, diikuti BN dengan 14 dan Perikatan Nasional (PN) lima.
Daripada 17 kerusi PH, DAP memenangi 11, PKR lima dan Amanah satu. Tiga daripada lima kerusi PN pula dimenangi Pas, manakala dua lagi oleh Bersatu.






