Perebutan kuasa Jalaluddin punca Negeri Sembilan terpaksa hadapi PRN – AMK Jelebu

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Jelebu hari ini mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan bukan disebabkan rakyat mahukan pilihan raya sebaliknya berpunca daripada kerakusan politik segelintir pemimpin yang lebih mengutamakan cita-cita peribadi berbanding kestabilan negeri.

Ketuanya, Haqqim Nazaruddin mendakwa, dalam hal ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaludin Alias perlu bertanggungjawab terhadap kemelut politik yang tercetus.

HAQQIM Nazaruddin

Menurut beliau, Jalaluddin dilihat lebih ghairah mengejar jawatan Menteri Besar daripada memastikan pentadbiran negeri terus stabil demi kepentingan rakyat.

“Krisis berkaitan institusi adat yang berlaku sebelum ini sepatutnya diselesaikan melalui saluran dan mekanisme yang telah diperuntukkan mengikut adat serta undang-undang.

“Malangnya, isu tersebut telah dipolitikkan sehingga mencetuskan ketegangan yang akhirnya mengheret Negeri Sembilan ke dalam ketidakstabilan politik yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Haqqim yang juga Exco AMK Pusat berkata, lebih mendukacitakan, rakyat kini terpaksa menanggung akibat daripada percaturan politik tersebut.

Katanya, tumpuan kerajaan negeri yang sepatutnya diberikan kepada usaha memperkukuh ekonomi negeri, menangani kos sara hidup, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat telah terganggu akibat perebutan kuasa yang dicetuskan oleh pihak tertentu.

“Seorang Menteri Besar bukan sekadar perlu lantang berpolitik atau bijak memainkan sentimen. Negeri Sembilan memerlukan seorang pemimpin yang mampu menyatukan rakyat, menghormati institusi, menjamin kestabilan pentadbiran dan mempunyai rekod perkhidmatan yang terbukti. Malangnya, tindakan Jalaludin sepanjang kemelut ini gagal mencerminkan ciri-ciri tersebut.

“Jika Barisan Nasional (BN) benar-benar serius mahu menawarkan kepimpinan baharu kepada rakyat Negeri Sembilan, parti itu seharusnya mengetengahkan calon Menteri Besar yang lebih berwibawa, berintegriti dan benar-benar bersedia berkhidmat, bukannya seorang pemimpin yang dikaitkan dengan episod ketidakstabilan politik negeri,” jelas beliau.

Menurut beliau lagi, PRN kali ini bukan sekadar memilih parti politik sebaliknya ia adalah pilihan antara kestabilan atau perebutan kuasa.

Ujar beliau, Negeri Sembilan telah membuktikan bahawa pentadbiran di bawah Datuk Seri Aminuddin Harun mampu membawa kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

Justeru, katanya, rakyat Negeri Sembilan perlu menolak politik yang menggadaikan kestabilan negeri demi memenuhi cita-cita individu.

“Masa depan negeri ini mesti ditentukan oleh kepimpinan yang mengutamakan khidmat kepada rakyat, bukannya perebutan kuasa,” tegasnya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img