PAKATAN Harapan (PH) mendakwa naratif ‘perpaduan ummah’ yang dibawa Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Negeri Sembilan lebih bermotifkan perebutan kuasa berbanding kepentingan rakyat serta agama.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, konsep perpaduan yang sebenar perlu dibina berlandaskan kebaikan dan ketakwaan, bukannya untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang disifatkan berprestasi.
Menurut beliau, Al-Quran mengajar umat Islam supaya saling tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan, bukannya dalam perkara yang membawa kepada kejahatan serta perbalahan.
“Persoalannya sekarang, adakah perpaduan yang ingin dibina ini atas kebaikan dan ketakwaan atau atas kejahatan dan perbalahan?
“Apabila ia bertujuan menjatuhkan sebuah kerajaan yang jelas berprestasi tinggi tanpa alasan yang munasabah, maka perpaduan itu dibina atas kejahatan dan perbalahan,” katanya pada sidang media di bilik sidang media utama PH, hari ini.
Khalid turut mempersoalkan kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dipetik berkata, “Kita akan kejar dia ke Linggi dan kita ramai-ramai lanyak dia”, yang menurutnya hanya menggalakkan budaya kebencian dalam politik.
“Apa salah Tok Min sehingga hendak dilanyak beramai-ramai? Adakah dia curi duit rakyat atau melakukan kesalahan lain? Tiada.
“Sebaliknya kenyataan seperti itu hanya menanamkan kebencian dan kemarahan, sedangkan Islam melarang umatnya saling membantu dalam perkara yang membawa kepada permusuhan,” katanya.
Beliau berkata, perpaduan yang dibina atas dasar kaum semata-mata juga tidak menepati ajaran Islam kerana boleh membawa kepada sifat assobiyyah yang ditegah oleh Rasulullah SAW.
Menurutnya, PH sebaliknya memperjuangkan perpaduan melibatkan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
“Kami mahu Melayu bersatu, Cina bersatu, India bersatu dan seluruh rakyat Malaysia bersatu bukan atas dasar assobiyyah, tetapi atas dasar kebaikan dan ketakwaan.
“Bagi kami, perpaduan yang dibentuk BN dan PN ini adalah demi kuasa, bukan demi perpaduan ummah. PH akan terus bekerja demi kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.






