PRN Negeri Sembilan : PH komited teruskan agenda pembangunan inklusif – Aminuddin

PAKATAN Harapan (PH) berjanji meneruskan agenda pembangunan inklusif yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira kaum dan agama sekiranya diberi mandat mentadbir negeri itu selepas Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16).

Calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pendekatan itu menjadi asas pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini yang memastikan setiap lapisan masyarakat menerima manfaat daripada pembangunan.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan kepada institusi pendidikan agama, hal ehwal bukan Islam serta sekolah vernakular sebagai usaha memastikan tiada golongan yang dipinggirkan.

“Kita juga memberi bantuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan pusat tahfiz dalam satu kumpulan yang sama.

“Kita mahu menunjukkan inilah Negeri Sembilan yang menghormati kepelbagaian. Mungkin ada sedikit rasa tidak puas hati dalam kalangan setiap kaum, tetapi kita perlu melihat kepentingan keseluruhan negeri,” katanya ketika ditemui media semasa berkempen di Linggi, Seremban hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kerajaan negeri sentiasa mengutamakan kestabilan dan pembangunan yang mampu meningkatkan kesejahteraan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Bukan kita fikirkan hanya satu kaum atau satu agama sahaja, tetapi kita melihat Negeri Sembilan sebagai sebuah keluarga besar yang perlu dibangunkan bersama,” katanya.

Mengulas manifesto PH bagi PRN16, Aminuddin berkata, gabungan itu memberi penekanan kepada penyediaan lebih banyak rumah mampu milik, peluang pekerjaan berkualiti dan pengagihan hasil pembangunan negeri kepada rakyat.

Katanya, PH juga komited memastikan hasil yang diperoleh kerajaan negeri disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan.

“Kita letakkan dalam manifesto penyediaan perumahan, peluang pekerjaan yang lebih baik dengan gaji yang lebih baik serta memastikan pembangunan dapat dirasai oleh semua.

“Kita mahu memastikan hasil yang diperoleh setiap tahun dikembalikan kepada rakyat supaya lebih ramai menikmati manfaat daripada kemajuan Negeri Sembilan,” katanya.

Pada Isnin lalu, PH melancarkan manifesto PRN16 bertemakan ‘Stabil, Makmur, Inklusif’ yang menggariskan 10 komitmen utama meliputi pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat, pendidikan, perumahan dan tadbir urus kerajaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img