Kerajaan pertahan cadangan verifikasi umur media sosial guna MyKad

KERAJAAN mempertahankan cadangan penggunaan dokumen rasmi seperti MyKad bagi tujuan pengesahan umur pengguna media sosial bawah 16 tahun meskipun timbul kebimbangan berkaitan kebocoran data dan risiko pemantauan besar-besaran.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendekatan itu bukan perkara baharu memandangkan kaedah sama telah digunakan dalam pelbagai sektor lain termasuk perkhidmatan e-dompet dan pengesahan akaun media sosial.

Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan sesi taklimat khusus bersama media bagi menjelaskan persoalan teknikal berkaitan pelaksanaan dasar berkenaan.

“Dari segi dasar, kita sedia maklum dalam negara kita pada waktu ini dari segi pengesahan umur, memang dokumen seperti MyKad dan sebagainya ada digunakan untuk membuat pengesahan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.

Beliau berkata, proses pengesahan identiti menggunakan dokumen rasmi kerajaan juga telah lama dipraktikkan dalam sektor e-dompet menerusi kaedah kenali pelanggan secara elektronik (eKYC).

“Maka dari segi dasarnya kita lihat tidak ada percanggahan antara dasar untuk pelaksanaan pengesahan umur menggunakan dokumen rasmi kerajaan bila ada sektor-sektor lain dalam negara kita yang telah menggunapakai dasar yang sama,” katanya.

Mengulas kebimbangan syarikat teknologi dan pertubuhan masyarakat sivil berkaitan keselamatan data peribadi, Fahmi berkata Akta Perlindungan Data Peribadi tetap terpakai dalam pengendalian maklumat pengguna.

“Dari segi keselamatan data peribadi, sudah pasti Akta Perlindungan Data Peribadi terpakai untuk tujuan mengendalikan data peribadi,” katanya.

Cadangan sekatan media sosial bagi pengguna bawah 16 tahun dijangka dilaksanakan pertengahan tahun ini.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img