Promosi `Coach Cerai’ boleh timbulkan kekeliruan – Menteri Agama

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan hari ini menegur segelintir pihak yang menjadikan penceraian sebagai jalan pintas untuk menyelesaikan krisis rumah tangga dalam kalangan pasangan suami isteri di negara ini.

Beliau sebaliknya menggalakkan pasangan yang sedang berhadapan dengan krisis rumah tangga supaya segera mendapatkan bimbingan profesional melalui saluran yang sah dan berautoriti.

Katanya, kerajaan memandang serius kemuliaan serta kedudukan tinggi institusi perkahwinan dalam Islam yang menuntut sebarang naratif, pendekatan atau istilah dikaitkan dengan perceraian ditangani secara berhati-hati, beretika dan bertanggungjawab.

Menurut beliau, kewujudan serta promosi perkhidmatan tertentu yang menggunakan penjenamaan seperti `Coach Cerai’ kini dilihat menarik perhatian masyarakat sehingga menimbulkan kekeliruan terhadap pendekatan sebenar Islam dalam menangani konflik rumah tangga serta krisis perkahwinan.

“Dalam memelihara institusi keluarga Islam, perkahwinan merupakan satu amanah agama yang mempunyai implikasi besar terhadap kesejahteraan emosi, sosial dan spiritual pasangan serta anak-anak.

“Oleh itu, sebarang usaha yang secara langsung atau tidak langsung memudahkan penceraian tanpa melalui proses islah, nasihat dan rundingan yang tersusun berisiko menormalisasikan perceraian sebagai jalan pintas, sekali gus meremehkan nilai kesabaran dan tanggungjawab yang digariskan dalam ajaran Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan itu juga, Zulkifli berkata, sebagai pihak berkuasa agama, Jabatan Agama Islam negeri telah menyediakan khidmat runding cara dan nasihat kepada pasangan suami isteri melalui kaunselor bertauliah serta Pegawai Hal Ehwal Islam yang berautoriti.

“Penyelesaian konflik rumah tangga hendaklah dilaksanakan secara berperingkat dan berlandaskan syariah, merangkumi nasihat, proses sulh, pelantikan orang tengah daripada kedua-dua keluarga serta bimbingan kaunseling yang berlandaskan nilai syariah, sebelum sebarang keputusan besar seperti penceraian dibuat.

“Khidmat ini boleh diperoleh di Pejabat Agama Islam Negeri dan Mahkamah Rendah Syariah Negeri,” katanya.

Justeru, kata beliau, pasangan suami isteri yang berdepan konflik rumah tangga digalakkan mendapatkan bantuan melalui saluran yang sah dan berautoriti, termasuk inisiatif yang disediakan oleh Agensi Hal Ehwal Agama di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu KSKCareCentre (KSKCC).

“Ia menawarkan khidmat kaunseling berstruktur, profesional dan berlandaskan pendekatan syariah bagi membantu pasangan mengenal pasti punca konflik, memperbaiki komunikasi serta mencari penyelesaian yang adil dan seimbang.

“Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga menyediakan Kursus Pascaperkahwinan Islam sebagai platform bimbingan berterusan untuk mengukuhkan kefahaman terhadap tanggungjawab dan hikmah perkahwinan serta keharmonian rumah tangga,” katanya.

Portal media tempatan hari ini melaporkan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengecam dan membantah tindakan individu yang menggelar diri `Coach Cerai’ kerana ia mengelirukan dan menjejaskan proses rundingan juga perdamaian pasangan suami isteri yang berdepan kemelut rumah tangga.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img