PRU-16 : DAP terbuka cadangan parti komponen PH guna lambang masing-masing

DAP sentiasa terbuka kepada cadangan untuk parti komponen Pakatan Harapan (PH) menggunakan lambang masing-masing pada PRU16, tetapi perkara itu perlu dibincangkan dalam Majlis Presiden PH terlebih dahulu.

Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke berkata, DAP juga akan memberikan pandangan dan cadangan bagaimana mahu bergerak ke hadapan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Beliau berkata demikian selepas Konvensyen DAP Selangor di Shah Alam hari ii.

Ditanya sama ada DAP bersedia menjayakan agenda khemah besar dengan parti di luar PH, termasuk Bersatu, beliau berkata, perkara itu perlu dibincangkan secara dalaman, bukannya secara terbuka di media.

“Jadi, yang paling baik segala cadangan dan perbincangan ini diadakan terlebih dahulu sebelum sesuatu kenyataan dibuat secara terbuka atau di media. Ia tidak akan mencapai hasrat atau objektif yang diinginkan, jika dibincangkan secara terbuka.

“Ini kerana masing-masing mempunyai pandangan tersendiri. DAP juga mempunyai pandangan kita sendiri. Jadi, seperti yang saya katakan, adalah lebih baik cadangan itu dibincangkan secara tertutup,” katanya sambil menambah cadangan khemah besar itu hanya di peringkat Amanah, bukannya PH.

Tegasnya, setakat ini, tiada sebarang perbincangan dibuat DAP berhubung kerjasama dengan Bersatu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil menegaskan bahawa tiada sebab untuk DAP keluar daripada PH  kerana parti itu merupakan rakan politik yang setia dalam gabungan berkenaan.

Faiz berkata kerjasama antara kedua-dua parti itu dalam PH juga penting bagi menjamin kemajuan negara dan kestabilan politik.

“Saya yakin bahawa untuk kemajuan negara dan kestabilan politik, DAP adalah rakan politik yang setia dengan PH. Kerjasama PH dengan DAP juga bukan sebab keuntungan politik, tetapi atas dasar prinsip yang berteraskan nilai dan khidmat untuk rakyat,” katanya lapor FMT.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu hanya akan mempertimbang menyertai kerajaan perpaduan pimpinan PH sekiranya DAP tidak lagi menjadi sebahagian gabungan itu

Hadi menjawab kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dan cadangan bekas pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rosli Yaakop agar parti Islam itu menyokong Kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PH.

Dalam pada itu, Faiz berkata, Amanah juga tidak mempunyai perancangan untuk bekerjasama dengan PAS selagi parti itu terus memainkan politik sentimen kaum demi mendapatkan kuasa.

Beliau berkata PAS juga bukan rakan politik yang sesuai untuk membawa kemajuan negara, selain mempersoalkan prestasi pentadbiran parti itu di negeri SG4.

“Jadi, untuk masa sekarang, saya tidak nampak nilai tambah PAS jika berada dalam kerajaan Madani,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here