TIGA lelaki termasuk seorang remaja berusia 14 tahun antara yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dipukul ketika melakukan rondaan di Pasar Batu 8 pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, ketiga-tiga suspek yang merupakan warga Filipina itu ditahan di beberapa lokasi berasingan pada Sabtu lalu.
“Tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh anggota penguat kuasa MPS yang terlibat dalam kejadian tersebut.
“Hasil maklumat berjaya mengesan suspek dan tangkapan dibuat di beberapa lokasi iaitu di Batu 8, Kampung Bariawa dan kawasan setinggan Kampung Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ujian air kencing mendapati kesemua mereka negatif daripada pengambilan dadah.
“Namun, ketiga-tiga mereka mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Kes ini masih disiasat di bawah Seksyen 186, Seksyen 332 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.
Media pada Sabtu lalu melaporkan kejadian seorang pegawai penguat kuasa MPS dipercayai dipukul oleh sekumpulan lelaki ketika melakukan rondaan di kawasan pasar tersebut.
Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku selepas mangsa menegur seorang penjaja supaya tidak melakukan aktiviti menjual rokok di kawasan pasar tersebut.
Video mengenai kejadian itu turut tular di media sosial dan pihak polis mengesahkan sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.


