Pulang dari pusat hiburan di Golok, 2 lelaki dicekup guna pangkalan haram

HASRAT dua lelaki tempatan pulang ke negara selepas mengunjungi pusat hiburan di Golok, Thailand tidak kesampaian apabila mereka ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika menggunakan pangkalan haram di Kampung Mentua, petang semalam.

Kedua-dua suspek berusia 33 dan 45 tahun ditahan selepas dikesan memasuki negara menggunakan perahu melalui laluan tidak sah di kawasan sempadan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketika pemantauan dijalankan, anggota bertugas mengesan sebuah perahu menghampiri tebing sungai sebelum menahan dua lelaki terbabit untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku menaiki perahu dari Thailand ke Malaysia dengan membayar tambang bot sebanyak RM15 seorang kepada pemandu bot yang tidak dikenali.

“Mereka juga mengaku pergi ke Thailand pada jam 2 petang kelmarin bagi mengunjungi pusat hiburan di Golok sebelum pulang semula menggunakan laluan tidak sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu merupakan antara usaha berterusan pihak berkuasa membanteras aktiviti rentas sempadan secara haram yang masih berlaku terutama melalui pangkalan tidak sah.

Katanya, kedua-dua suspek kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img