POLIS menahan 11 individu termasuk warga asing selepas menyerbu tiga kondominium di sekitar Sungai Nibong yang dipercayai dijadikan pusat panggilan sindiket penipuan dalam talian, kelmarin.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Pulau Pinang, hasil maklumat dan risikan.
“Dalam serbuan itu, tiga lelaki warga China, dua lelaki warga Taiwan, dua lelaki dan seorang wanita warga Vietnam, seorang lelaki Jepun serta dua lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 56 tahun telah ditahan.
“Siasatan awal mendapati semua suspek berperanan sebagai pekerja ‘khidmat pelanggan’ yang menjalankan kegiatan membuka akaun Facebook palsu untuk tujuan penipuan dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azizee, berdasarkan siasatan, sindiket itu dipercayai mula beroperasi awal April tahun ini dengan menyasarkan mangsa dari China, Jepun, Taiwan dan Vietnam melalui platform media sosial berkenaan.
Beliau berkata dalam serbuan pertama, polis merampas pelbagai barangan iaitu 11 unit telefon bimbit jenis iPhone, sebuah router WiFi, satu set kunci rumah, sekeping bil Tenaga Nasional Berhad, sebuah iPad, sebuah komputer riba, tiga tetikus dan satu pengecas komputer riba.
Turut dirampas, sebuah buku nota, dua skrin komputer, dua unit pemprosesan pusat, dua papan kekunci serta satu suis Internet jenama TP-Link.
Dalam serbuan kedua pula, beliau berkata, polis merampas sebuah telefon bimbit dan satu set kunci rumah.
Menurutnya, soal siasat mendapati suspek mengaku mula bekerja sebagai pekerja ‘khidmat pelanggan’ sejak awal April di sekitar Sungai Nibong bagi menjalankan aktiviti penipuan tersebut.
Katanya, kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


