RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah supaya Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah diberi ruang untuk terus memimpin kerajaan negeri sehingga akhir penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 tanpa sebarang gangguan yang boleh menjejaskan agenda pembangunan negeri.
Sehubungan itu baginda bertitah semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu mengenepikan ego masing-masing serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri demi memastikan kestabilan politik terus terpelihara.
“Beta ingin mengingatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian bahawa Kerajaan ini adalah Kerajaan Beta.
“Justeru, Beta berharap agar Memanda Menteri Besar diberikan ruang untuk terus memimpin sehingga ke akhir penggal Dewan Undangan Negeri yang ke-15 tanpa sebarang kacau ganggu yang akan merencatkan segala perancangan yang telah dirangka,” titah baginda.
Raja Sirajuddin bertitah demikian sempena Perasmian Penggal Persidangan Keempat DUN Perlis Ke-15 itu.
Titah baginda disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kompleks Seri Putra, Kangar, hari ini.
Titah Raja Sirajuddin itu dianggap tepat masanya ketika terdapat desas desus sidang DUN kali ini akan menyaksikan undi tidak percaya dibentangkan terhadap Abu Bakar.
Pada 23 Mei lalu Abu Bakar berkata beliau akan membubarkan DUN Perlis sekiranya enam wakil rakyat Pas mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau.
Situasi politik negeri itu dianggap tidak stabil apabila tercetusnya konflik politik antara Pas dan Bersatu apabila Shukri Ramli daripada Pas digantikan oleh Abu Bakar.
Dalam titah tersebut, baginda menegaskan, kestabilan politik adalah antara faktor penting yang mempengaruhi keyakinan pelabur untuk terus melabur di negeri itu.
Raja Sirajuddin turut menyeru semua wakil rakyat menjadikan sidang DUN sebagai platform terbaik untuk mengemukakan idea baharu dan konstruktif, bukannya medan pertelagahan politik.
Baginda bertitah mengingatkan kerajaan negeri supaya memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara berhemah, telus dan berintegriti agar manfaatnya dapat dirasai rakyat.
Raja Sirajuddin menyambut baik usaha kerajaan negeri memperkenalkan Pelan Peneraju Perlis Progresif 2030 (PENERAJU) bagi memperkukuh ekosistem pelaburan dan menarik lebih ramai pelabur ke negeri itu.
Baginda turut meminta kerajaan negeri terus mengekalkan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan tanpa dipengaruhi perbezaan fahaman politik.


