SEORANG peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang remaja lelaki dalam kejadian di Jalan Losong Feri, Kuala Terengganu bulan lalu.
Tertuduh, Asrizal Hisham Khalid, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.
Mengikut pertuduhan, pada kira-kira jam 3.36 petang, 19 Mei lalu, tertuduh yang memandu kereta jenis Volkswagen Golf GTI didakwa memandu secara berbahaya di Jalan Losong Feri sehingga menyebabkan kematian Wah Han Keong, 18.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, lapor Buletin TV3.
Tertuduh juga boleh hilang kelayakan untuk memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Tarikh 3 Ogos depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ameena Azzuhriyyah Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Pada 19 Mei lalu, media melaporkan seorang remaja lelaki maut dalam keadaan tragis selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah van Nissan Vanette dan kereta Volkswagen Golf GTI di lokasi sama.
Mangsa yang merupakan penumpang hadapan van berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas sebuah tiang lampu jalan tumbang akibat rempuhan sebelum menghempap kepalanya.


