DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan kesan lebih besar akan dirasai oleh rakyat jika konflik Asia Barat dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi.
Perdana Menteri berkata, buat masa ini bekalan petrol dan diesel Malaysia masih terkawal biarpun konflik yang berlaku memberi tekanan kepada ekonomi global dan rantaian bekalan tenaga.
“Ini (perang) kalau keadaan tak berubah satu dua bulan ini kesannya sampai ke setiap kampung di negara ini, percayalah, saya berdoa supaya dapat dileraikan,” katanya.
Beliau yang Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Program Perdana Menteri Bersama Warga Peneroka FELDA di FELDA Semenchu, di Kota Tinggi hari ini.
Anwar berkata, walaupun ketika ini kerajaan masih berupaya menampung tekanan kenaikan harga minyak dunia melalui pemberian subsidi, namun tidak mampu bertahan lama jika konflik berpanjangan.
‘’Kerajaan kini membelanjakan hampir RM6 bilion sebulan bagi menampung subsidi petrol, diesel serta bantuan berkaitan bagi memastikan rakyat tidak terkesan secara langsung akibat kenaikan harga global.
‘’Jika situasi berterusan, jumlah perbelanjaan itu boleh mencecah sehingga RM60 bilion dalam tempoh 10 bulan, sekali gus memberi tekanan besar kepada kedudukan fiskal negara,’’ katanya.
Anwar menjelaskan, walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, namun kira-kira 50 peratus bekalan minyak negara masih perlu diimport, menyebabkan negara turut terdedah kepada ketidaktentuan harga global.
Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bekalan bahan api kekal stabil dan harga masih terkawal selagi keadaan mengizinkan.
“Ada negara lain yang terpaksa mengehadkan pembelian petrol kepada jumlah tertentu dan menetapkan hari tertentu bagi pembelian bahan api. Malaysia masih bertahan.
“Walaupun ada tekanan, kita belum sampai tahap seperti negara lain yang terpaksa menutup ratusan stesen minyak,” katanya.


