
KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa berkata, agak mustahil untuk gabungan itu memenuhi permintaan 15 kerusi yang dikemukakan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Hakikat ini berikutan keputusan Bersatu semalam yang mengumumkan akan bertanding menggunakan logo sendiri dalam PRN Negeri Sembilan dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, beberapa parti lain turut menyuarakan minat bertanding atas tiket parti itu.
Annuar berkata, keputusan Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri bermakna parti itu secara sukarela memilih untuk mufarakah daripada PN pada PRN Negeri Sembilan.
Jelasnya, langkah itu tidak mengejutkan kerana pemimpin PN dimaklumkan sejak bulan lalu berhubung rancangan Bersatu menghidupkan platform politik lain.
“Keputusan menggunakan logo sendiri adalah tindakan terbaik bagi Bersatu dan perlu dihormati,” kata Annuar dalam hantaran di Facebook.
“Apa jua alasan yang digunakan untuk bertanding dengan logo sendiri di PRN Negeri Sembilan, kita fahami terutama apabila Bersatu sebenarnya telah memaklumkan secara rasmi kepada Jawatankuasa Rundingan Kerusi PN hasrat mahu 15 kerusi bagi PRN Negeri Sembilan, yang sudah pasti tidak tertunai oleh PN yang mempunyai enam parti komponen serta jumlah kerusi kurang dari 15 (untuk diagihkan),” tulisnya.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa PN mempunyai kurang daripada 15 kerusi untuk diagihkan, walaupun Dewan Undangan Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi.
Timbul spekulasi Barisan Nasional (BN) yang mengumumkan calonnya bagi 25 kerusi malam tadi akan membentuk pakatan dengan komponen PN seperti Pas dan Parti Wawasan Negara yang diterajui Datuk Seri Hamzah Zainudin pada PRN Negeri Sembilan.
Annuar berkata, Majlis Tertinggi PN belum memuktamadkan senarai calon, agihan kerusi dan logo pilihan raya, dengan keputusan akan dibuat dalam mesyuarat pagi ini.
PN yang diketuai Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dijadual mengumumkan calonnya untuk PRN Negeri Sembilan malam ini, manakala Bersatu dijangka mengumumkan senarai calonnya esok.
Pas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu pada 8 Jun lalu, walaupun kedua-dua parti masih kekal dalam PN dan bertanding pada PRN Johor Sabtu lalu menggunakan lambang gabungan berkenaan.
Dua parti itu tidak berkempen untuk satu sama lain pada PRN Johor, dengan Pas turut mengarahkan ahli dan penyokongnya mengundi BN di kawasan yang tidak ditandingi PN.
PN memenangi lima kerusi pada PRN Negeri Sembilan lalu, dengan Pas memenangi tiga kerusi dan baki dua kerusi dimenangi Bersatu.





