APABILA artikel ‘Perkukuh Perang Terhadap Rasuah, Tadbir Urus Menjadi Keutamaan Kepimpinan Tertinggi’ disiarkan dalam Buletin ATM, pelbagai reaksi muncul di dalam media sosial.
Ada yang menyambut baik ketegasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperkukuh tadbir urus dan integriti, namun tidak kurang juga yang terus mempertikaikan keikhlasan usaha tersebut. Sebahagian pihak menganggap tindakan yang diumumkan sekadar retorik malah ada yang mendakwa institusi pertahanan negara sudah tercemar sepenuhnya.
Hakikatnya, persepsi yang terbentuk di ruang digital tidak semestinya menggambarkan keseluruhan realiti.
Sebagai institusi yang menjadi benteng terakhir kedaulatan negara, ATM sejak sekian lama dibina atas tiga tonggak utama iaitu disiplin, integriti dan amanah. Nilai-nilai ini bukan sekadar slogan sebaliknya menjadi asas pembentukan setiap anggota sejak hari pertama mereka menyarung uniform.
Dalam organisasi yang berteraskan rantaian pemerintahan dan pematuhan kepada undang-undang ketenteraan, sebarang pelanggaran integriti bukan sahaja mencemarkan nama individu, malah turut menjejaskan kredibiliti keseluruhan organisasi.
Justeru, adalah tidak wajar kesalahan segelintir individu dijadikan ukuran terhadap lebih 100,000 warga ATM yang masih berkhidmat dengan penuh amanah dan profesionalisme.
Komitmen kepimpinan ATM memperkukuh Pelan Tindakan Pembanterasan Rasuah (PTPR) 2026–2030 membuktikan bahawa isu integriti tidak dipandang ringan.
Penubuhan Jawatankuasa Tatakelola (JTK) dan Jawatankuasa Pengurusan Aduan (JKPAD), pemantauan berterusan terhadap pelaksanaan pelan tindakan serta penekanan kepada pengurusan aduan yang telus merupakan langkah institusi yang bersifat sistemik, bukannya tindakan bermusim atau sekadar reaksi terhadap tekanan semasa.
Pendekatan ini menunjukkan bahawa pembanterasan rasuah bukan lagi bergantung kepada individu, sebaliknya diperkukuh melalui mekanisme tadbir urus yang lebih menyeluruh.
Dalam mana-mana organisasi besar termasuk institusi pertahanan di seluruh dunia, kewujudan kes salah laku tidak dapat dijadikan bukti bahawa keseluruhan organisasi telah gagal. Apa yang lebih penting ialah bagaimana organisasi bertindak apabila pelanggaran berlaku.
ATM telah menunjukkan bahawa siasatan dijalankan mengikut saluran undang-undang, tindakan disiplin dikenakan apabila wujud bukti yang mencukupi dan penambahbaikan sistem dilaksanakan bagi mengelakkan kelemahan berulang. Inilah ukuran sebenar sebuah organisasi yang bertanggungjawab.
Masyarakat juga perlu berhati-hati agar tidak menghukum berdasarkan dakwaan atau perbincangan di media sosial semata-mata. Dalam era maklumat tanpa sempadan, persepsi boleh dibentuk dengan pantas tetapi kebenaran tetap memerlukan siasatan yang teliti dan proses perundangan yang adil.
Menjatuhkan hukuman melalui “mahkamah media sosial” bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi individu yang belum dibuktikan bersalah, malah menghakis keyakinan terhadap institusi yang menjadi benteng keselamatan negara.
Usaha memperkukuh integriti bukanlah destinasi yang mempunyai titik penamat. Ia merupakan proses berterusan yang memerlukan keberanian kepimpinan, kejujuran warga organisasi dan sokongan masyarakat.
Kritikan yang membina sememangnya penting sebagai mekanisme semak dan imbang, namun ia perlu berasaskan fakta, bukti dan kefahaman yang seimbang bukannya persepsi yang dibentuk oleh emosi atau andaian.






