Remaja Palestin maut dirempuh kereta dipandu pegawai menteri Israel

SEORANG remaja Palestin berusia 16 tahun terbunuh pada pagi Selasa selepas dilanggar kenderaan yang dipandu oleh seorang penduduk haram Israel ketika dalam perjalanan ke sekolah di utara Hebron, Tebing Barat yang diduduki.

Dalam kejadian kira-kira jam 6  pagi itu, mangsa, Mohammad Majdi al-Ja’bari, sedang menunggang basikal menuju ke sekolah sebelum dirempuh sebuah kenderaan.

Kenderaan tersebut dilaporkan milik kakitangan keselamatan seorang menteri kerajaan Israel yang menetap di penempatan haram di kawasan berkenaan. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Insiden ini berlaku ketika peningkatan ketara keganasan oleh penduduk haram Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.

Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA), lebih 1,079 rakyat Palestin, termasuk sekurang-kurangnya 235 kanak-kanak, telah terbunuh di Tebing Barat yang diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur sejak 7 Oktober 2023 hingga 30 Mac 2026. Daripada jumlah itu, lebih 33 kematian direkodkan sejak awal tahun 2026 sahaja.

OCHA turut melaporkan bahawa keganasan dan gangguan oleh penduduk haram Israel terus berlaku tanpa henti di seluruh Tebing Barat, dengan peningkatan mendadak sejak bermulanya konflik di Gaza.

Keganasan penduduk haram juga dikenal pasti sebagai faktor utama yang mendorong pemindahan paksa rakyat Palestin dari kediaman mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, Kabinet keselamatan Israel meluluskan beberapa keputusan yang dipelopori oleh Menteri Kewangan Bezalel Smotrich dan Menteri Pertahanan Israel Katz, yang membolehkan Israel menuntut kawasan luas di Tebing Barat sebagai “harta negara”.

Sementara itu, Amnesty International menyatakan bahawa peluasan penempatan haram serta keganasan penduduk yang disokong negara di wilayah Palestin yang diduduki merupakan “bukti jelas kegagalan besar masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas”.

Dalam laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Mac lalu, jumlah rakyat Palestin yang dipaksa keluar dari kediaman mereka di Tebing Barat meningkat sebanyak 25 peratus antara 1 November 2024 hingga 31 Oktober 2025.

Sepanjang tempoh tersebut, lebih 36,000 rakyat Palestin dilaporkan kehilangan tempat tinggal, dengan 1,732 insiden keganasan penduduk haram yang menyebabkan kematian atau kemusnahan harta benda — meningkat hampir 25 peratus berbanding tempoh sebelumnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img