SEORANG pekerja kilang terpaksa melupakan motosikal Yamaha Y15 yang diubah suai dengan kos RM4,000 selepas kenderaan itu disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam Operasi Extreme JPJ Melaka 2026, kelmarin.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, motosikal terbabit ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) dari arah Semabok menghala ke Bandar Melaka.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati motosikal itu menggunakan tayar tidak mengikut spesifikasi ditetapkan selain Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan tamat tempoh.
“Pemilik motosikal berusia lingkungan 20-an itu mengakui melakukan pengubahsuaian berkenaan termasuk menggunakan tayar kecil atau tayar sotong atas faktor kepuasan diri.
“Dia sanggup membelanjakan wang simpanan RM4,000 bagi tujuan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, tayar yang digunakan pada motosikal terbabit adalah jenis yang biasa digunakan untuk perlumbaan dan tidak sesuai digunakan di jalan raya.
“Selain tidak mengikut spesifikasi, penggunaan tayar berkenaan boleh menjejaskan aspek keselamatan ketika motosikal ditunggang di jalan raya.
“Motosikal itu kemudian disita untuk tindakan lanjut,” katanya.
Siti Zarina berkata, motosikal berkenaan antara lapan kenderaan yang dikenakan tindakan atas kesalahan pengubahsuaian ekstrem sepanjang empat siri Operasi Extreme JPJ Melaka 2026.
Katanya, operasi itu dijalankan dengan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Melaka Tengah.
“Sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 531 kenderaan diperiksa dengan 138 daripadanya dikenakan tindakan.
“Daripada jumlah itu, lapan kenderaan disita manakala lapan lagi dikenal pasti melakukan pengubahsuaian ekstrem,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 509 notis P22 turut dikeluarkan sepanjang operasi terbabit.
“JPJ Melaka akan terus mempergiatkan penguatkuasaan terhadap pemilik kenderaan yang melakukan pengubahsuaian tidak mengikut peraturan kerana perbuatan itu boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.






