SETIAUSAHA Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung, mempersoalkan dakwaan wujud persefahaman antara UMNO dan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, selain menuntut penjelasan daripada kepimpinan MCA berhubung perkara itu.
Menerusi hantaran di Facebook, Saw berkata, seminggu lalu di Johor, beliau berulang kali memberitahu pengundi BN tidak bekerjasama dengan Pas dan untuk menghentikan arus hijau, (Pas), undi Barisan Nasional.
“DAP telah bersekutu dengan Pas sebanyak tiga kali.Anwar Ibrahim telah menghantar jemputan kepada Pas untuk menyertai kerajaan perpaduan. Seminggu kemudian di Negeri Sembilan, seorang pemimpin Barisan Nasional berkata di atas pentas mengumumkan calon tersebut: “Kita bersefahaman dengan kawan.”
‘’Pemimpin Pas mengesahkan: Kerjasama UMNO-Pas. Saya keliru. Adakah MCA bersetuju? Adakah presiden bersetuju? Adakah majlis bersetuju? Apakah kata sepakat dengan Pas? Kita telah menegakkan sekularisme dan demokrasi begitu lama, dan kita telah melepaskannya? Kita bersetuju dengan teokrasi? Kita telah meluluskannya? Bagaimana dengan keuntungan kita? Bagaimana dengan prinsip kita?
‘’Kerana undi? Kerana kedudukan rasmi? Kerana kawasan campuran ini akan menang? Kerana musuh musuh saya adalah kawan saya? Kerana tiada apa yang penting selagi kita mengalahkan DAP?Hasilnya?,’’ tegasnya.
Beliau berkata, MCA selalu mengatakan bahawa DAP, selepas berkuasa, telah menjadi perkara yang mereka benci dahulu.
‘’Dan bagaimana pula dengan kita? Bukankah kita sama sekarang? Maaf, tetapi saya menganggap diri saya seorang yang tulen dari segi politik, jadi saya tidak bersetuju,’’ katanya.
Malam tadi ketika majlis pengumuman calon Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan hanya mengumumkan 25 nama calon BN daripada keseluruhan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan.
Katanya, baki daripada jumlah tesebut akan diberikan kepada rakan yang dipercayai merujuk kepada jalinan kerjasama dengan parti lain.
“Seperti yang disebut oleh Datuk Seri Presiden ataupun Pengerusi BN tadi, bahawa akan ada pengumuman lain kerana kita memasuki PRN ke-16 ini, kita akan buat persefahaman dengan kawan.
“Tapi jangan risau, kita tak ada persefahaman dengan Linggi. Kita buat persefahaman dengan yang boleh dijadikan rakan yang dipercayai, insya-Allah,” katanya.






