RON97 turun 30 sen, RON95 dan diesel turun 20 sen, BUDI95 kekal RM1.99

SELARAS dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini diturunkan berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata, RON97 turun 30 sen kepada RM4.35 seliter daripada RM4.65 selitir, RON95 pula turun 20 sen kepada RM3.72 seliter daripada RM3.92 manakala Diesel (Semenanjung Malaysia) turun 20 sen kepada RM4.68 seliter daripada RM4.87 .

Penetapan harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 4 Jun hingga 10 Jun 2026 adalah seperti berikut:

Harga runcit:

Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:

‘’Di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), Kerajaan MADANI terus mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak.

‘’Pada harga RON95 tanpa subsidi semasa RM3.72 seliter, penggunaan 200 liter akan menelan kos RM744. Ini bermakna Kerajaan MADANI menanggung sehingga RM346 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh BUDI95,’’ kata MoF.

Namun kata MoF dengan siling kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima BUDI95 hanya membayar sehingga RM398 sebulan bagi penggunaan penuh kelayakan tersebut

‘’Harga diesel tanpa subsidi RM4.67 seliter pula merupakan lebih dua kali ganda harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter, bagi mengurangkan impak harga diesel kepada rakyat melalui kos pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna,’’ kata kenyataan itu.

Bagaimanapun MoF memberitahu, penurunan harga runcit minggu ini tidak menandakan pasaran petroleum global kembali stabil.

”Sebaliknya, menjelang 100 hari konflik dan perkembangan terkini di Asia Barat, masih terdapat risiko tinggi harga minyak mentah dan produk petroleum kekal tinggi dalam jangka sederhana, ‘’ kata kenyataan itu.

MoF memaklumkan,  mutakhir ini, negara-negara pengimport utama di Asia terpaksa meningkatkan pembelian minyak mentah daripada sumber alternatif bagi menampung gangguan bekalan dari Asia Barat.

‘’Walaupun import minyak mentah dari Amerika Syarikat ke Asia meningkat ke paras tertinggi, peningkatan tersebut masih belum mencukupi untuk menggantikan kehilangan bekalan melalui laluan perdagangan utama yang terjejas.

‘’Keadaan ini menunjukkan bahawa pasaran petroleum global masih berdepan kekangan bekalan fizikal, meskipun purata harga pasaran minggu terdahulu mencatatkan penyusutan,’’ kata kenyataan berkenaan.

Menurut MoF, Sekiranya konflik terus berlarutan, risiko penyusutan inventori global dan kekurangan bekalan boleh memberi tekanan baharu kepada harga minyak mentah serta produk petroleum dalam tempoh mendatang.

‘’Di sebalik kekangan bekalan global, Kerajaan MADANI terus mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar bagi membantu memelihara kelangsungan hidup rakyat dan operasi sektor tertentu dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu,’’ kata kenyataan itu.

Menurut MoF, bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat dan keperluan perbelanjaan fiskal secara berhemat, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.

Sehubungan itu kata MoF,  Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat melalui perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu keterjaminan bekalan negara.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img