DUA buah rumah sesebuah mengalami kerosakan kira-kira 70 peratus dalam kebakaran di Jalan Klang–Teluk Intan, Pekan Pasir Panjang, dekat Sekinchan, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.42 petang.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan bersama bantuan BBP Sungai Besar bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira lapan minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis sesebuah kelas A berkeluasan 30 x 30 kaki persegi bagi setiap unit.
“Anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah sebanyak 70 peratus dan kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 6.13 petang.
Mukhlis berkata, seramai 12 anggota bomba dengan kekuatan empat jentera iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dari BBP Sekinchan serta sebuah FRT dan sebuah Water Tanker dari BBP Sungai Besar terlibat dalam operasi tersebut.
Menurutnya, api berjaya dipadamkan dan kerja-kerja overhaul sedang dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan semula api.


