SEORANG lelaki dijatuhkan hukuman penjara 26 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana melakukan khianat terhadap enam kenderaan dengan membaling batu di Lebuhraya Sprint, Bukit Damansara.
Ketua Polis Brickfields, ACP Hoo Chang Hook, berkata enam laporan diterima semalam berhubung kejadian yang berlaku di Jalan Setia Puspa, Lebuhraya Sprint, kira-kira 11 pagi.
Katanya, seorang mangsa cedera di tangan dan badan akibat terkena serpihan cermin hadapan serta batu yang dibaling.
“Mangsa mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta dan keadaannya dilaporkan stabil, manakala mangsa lain tidak mengalami sebarang kecederaan. Jumlah kerugian dialami semua mangsa dianggarkan melebihi RM20,000,” katanya dalam kenyataan.
Chang Hook berkata, warga tempatan itu ditahan tidak lama selepas kejadian, dengan sebuah beg mengandungi batu serta sebilah gunting diubah suai dirampas.
‘’Suspek mempunyai lapan rekod jenayah dan satu rekod berkaitan kesalahan dadah. Enam kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,’’ katanya.
Beliau berkata, semua kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur hari ini dan suspek dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada hari sama.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 26 bulan ke atas suspek berkuat kuasa dari tarikh tangkapan,’’ katanya.
Terdahulu, rakaman kamera papan pemuka tular di media sosial memaparkan seorang lelaki dipercayai membaling objek ke arah kenderaan melalui Lebuhraya Sprint yang menyebabkan kerosakan.


