MAHKAMAH Tinggi hari ini memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor membayar USD14.6 juta kepada syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL, berhubung kehilangan 43 barang kemas yang dihantar kepadanya pada 2018.
Hakim Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas membenarkan saman difailkan syarikat berkenaan yang menuntut pemulangan semua 43 barang kemas terbabit atau bayaran berdasarkan nilai anggaran keseluruhannya.
Dalam penghakimannya, Quay turut menolak tuntutan Rosmah terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dinamakan sebagai pihak ketiga untuk mendapatkan indemniti atau ganti rugi tanggungan.
Hakim berkata, Rosmah tidak pernah menafikan bahawa kesemua barang kemas berkenaan telah dihantar kepadanya untuk dilihat sebelum gagal memulangkannya kepada syarikat terbabit.
“Sebaik sahaja penghantaran, pemilikan dan kegagalan memulangkan barangan tersebut dibuktikan, menjadi tanggungjawab defendan (Rosmah) memberi kewajaran mengapa beliau tidak memulangkannya,” katanya.
Menurut Quay, pembelaan Rosmah dalam kes itu juga didapati tidak konsisten dengan pendiriannya dalam prosiding pelucuthakan barang kemas dan barangan mewah yang dirampas di sebuah unit kondominium di Pavilion Residences pada 2018.
Katanya, dalam prosiding terdahulu Rosmah menyatakan 43 barang kemas berkenaan bukan miliknya dan bergantung kepada nota konsainan yang dikemukakan.
“Namun dalam prosiding ini, beliau mempertikaikan kesahihan nota konsainan yang sama. Cabaran itu hanyalah satu tipu muslihat,” kata Quay.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa kerajaan memiliki satu daripada barang kemas berkenaan pada 2022, namun tiada bukti dikemukakan bahawa baki barang kemas lain turut dirampas pihak polis.
Quay berkata, dakwaan Rosmah bahawa semua barang kemas itu dirampas polis tidak dapat dibuktikan dan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelakkan tanggungjawab memulangkan barangan tersebut.
Menurutnya, fakta mengenai pergerakan dan pengendalian barang kemas itu berada dalam pengetahuan Rosmah sendiri dan beliau tidak boleh bergantung semata-mata kepada serbuan polis untuk menjelaskan kehilangan kesemua barang kemas berkenaan.
Hakim turut mengambil maklum keterangan Rosmah ketika pemeriksaan balas bahawa beliau tidak mengetahui keadaan unit 45 Pavilion Residences yang sedang diubah suai atau individu yang mempunyai akses ke unit tersebut antara 9 hingga 17 Mei 2018 sebelum serbuan dilakukan.
Perbicaraan kes itu menyaksikan Global Royalty diwakili peguam David Gurupatham, manakala Rosmah diwakili Rajivan Nambiar. Polis pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin.






