‘Rupa-rupanya itu ucapan, nyanyian hari lahir terakhir daripada arwah’ – Bapa Iskandar Affan.

“RUPA-rupanya, itulah ucapan dan nyanyian terakhir daripada arwah buat saya,”

Demikian luahan pilu Ibrahim Ghazali, 39, yang kehilangan anak tunggal lelakinya, Iskandar Affan Ibrahim, 7, dalam kemalangan ngeri yang meragut enam nyawa di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, semalam.

Menurut Ibrahim, Iskandar Affan berkali-kali mengucapkan selamat hari lahir dan menyanyikan lagu khas buatnya sempena ulang tahun kelahirannya yang diraikan sehari sebelum tragedi berlaku.

“Iskandar Affan tinggalkan kenangan pada hari lahir saya semalam dengan pergi buat selama-lamanya.

“Namun, saya reda dengan ketentuan ini walaupun dia satu-satunya anak lelaki saya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Abidi, hari ini.

Katanya, anaknya itu turut memberikan hadiah yang dibeli ibunya pada Jumaat lalu sempena sambutan hari lahirnya.

“Sempena hari lahir saya, dia berkali-kali mengucap dan menyanyikan lagu selamat hari lahir untuk saya selain memberikan hadiah yang dibeli oleh ibunya,” katanya.

Ibrahim berkata, mereka sekeluarga sempat mengadakan majlis makan-makan di kediaman mereka di Taman Bertam Indah, Pulau Pinang bagi meraikan hari lahirnya sebelum tragedi meragut nyawa anak kesayangannya itu.

Walaupun masih bersedih, Ibrahim berkata, dia lebih bersimpati terhadap isterinya, Siti Nur Atikah Ahmad Shukri, 32, yang kehilangan beberapa ahli keluarga serentak dalam kemalangan berkenaan.

Sementara itu, Siti Nur Atikah berkata, dia reda dengan ketentuan Ilahi meskipun kehilangan anak, ibu serta dua adiknya dalam sekelip mata.

Katanya, tragedi itu berlaku tidak lama selepas keluarganya diuji dengan pemergian bapanya, Ahmad Shukri Osman, pada 2 Februari 2024.

“Dalam sekelip mata saya hilang anak, ibu dan dua adik serta anak saudara yang rapat dan sering berhubungan walaupun jarang berjumpa.

“Ketika kejadian itu, mereka dalam perjalanan menziarahi kubur arwah ayah di sini dan tidak sangka hari ini mereka turut dikebumikan tidak jauh dari kubur ayah,” katanya.

Dalam kemalangan itu, Siti Nur Atikah kehilangan ibunya, Nora Mohd Husin, 55; dua adiknya, Ahmad Shafiq, 29, dan Ahmad Fahim, 21; adik iparnya, Jamaliah Sannusi, 29; anak saudaranya, Ahmad Mikail Ahmad Shukri, berusia dua bulan, serta anaknya, Iskandar Affan.

Media sebelum ini melaporkan enam maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang dinaiki tujuh sekeluarga terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, petang semalam.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img