SEJAK malam tadi, orang ramai sudah berada di Dataran Putrajaya walaupun Sambutan Hari Kebangsaan 2025 hanya bermula pagi ini.
Namun itulah keunikan Hari Kemerdekaan setiap tahun, tidak kurang 100,000 pengunjung akan melupakan seketika perkara lain bagi memberi tumpuan kepada sambutan bersejarah tersebut.
Sambutan kali ini membabitkan 14,010 peserta, 81 kontinjen, 21 kumpulan pancaragam, 437 aset darat dan udara serta 116 ekor haiwan dalam perkhidmatan dan tujuh kereta berhias yang turut disiarkan dan diikuti jutaan rakyat Malaysia secara langsung melalui kaca televisyen dan laman media sosial.
Mereka mewakili pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat ke sambutan itu melakukan kejutan apabila Sultan Ibrahim memandu sendiri Proton Satria Neo.
Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya hari ini, bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang berlangsung penuh warna-warni, mencerminkan semangat patriotik rakyat yang tidak pernah luntur.
Turut berangkat mengiringi baginda berdua ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; barisan Menteri Kabinet; selain Duta serta Konsul Asing di Malaysia.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Media dan Publisiti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, sambutan tahun ini menekankan komitmen kerajaan memastikan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan, sejajar prinsip Malaysia MADANI berteraskan perpaduan, kesejahteraan dan nilai kemanusiaan.
Acara kemuncak sambutan ialah perbarisan dan perarakan membabitkan 14,062 peserta yang menampilkan pancaragam, aset hidup, kenderaan serta kontinjen daripada pelbagai sektor utama negara termasuk ekonomi, telekomunikasi, industri kreatif, sukan dan keselamatan.
Sambutan juga turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang mendendangkan lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025,
Kemunculan Panglima Tentera Udara (PTU), Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, yang mengemudi sendiri pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM bercorak Jalur Gemilang membangkita keterujaan pengunjung.
Kehadirannya di kokpit disambut tepukan gemuruh penonton, simbol kepimpinan dan semangat patriotisme warga TUDM.
Pertunjukan udara itu menampilkan enam pesawat Sukhoi SU-30MKM dengan sorotan utama aksi ‘bomb burst’ yang memukau, selain disokong dua pesawat Hawk 208 yang memperlihatkan kelincahan dan keupayaan tempur TUDM.
Persembahan aset udara kemudian disusuli dengan formasi helikopter EC 725 TUDM, diikuti HOM AW139 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), MD530G dan AW109 Pasukan Udara Tentera Darat, AW139 Polis Diraja Malaysia (PDRM), AS365N Dauphin Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), serta AW109 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysua (JBPM).
Gabungan semua aset ini melambangkan keutuhan kerjasama agensi keselamatan dan penguatkuasaan negara dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.



