SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyerahkan notis kepada bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan ahli keluarganya supaya mengisytiharkan harta masing-masing dalam tempoh sebulan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009 itu akan diserahkan kepada Timbalan Presiden MIC itu Isnin depan.
“Bagi bekas menteri yang dituduh di mahkamah (baru-baru ini), kami akan menyampaikan notis untuk pengisytijaran harta kepada beliau, isteri beliau dan tiga anak beliau.
“Mereka sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan mereka akan hadir di ibu pejabat SPRM Isnin ini, untuk diserahkan notis berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Penutupan Persidangan Penyelidikan Tata Kelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026 di Putrajaya hari ini.
Pada 28 Ogos lalu, Saravanan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta berhubung kelulusan bagi permohonan 1,000 kuota pekerja asing untuk sebuah syarikat, empat tahun lepas.
Ahli Parlimen Tapah berusia 58 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan satu per satu di hadapan Hakim Azura Alwi.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Saravanan didakwa telah secara rasuah menerima wang tunai masing-masing RM150,000 dan RM350,000 daripada Pengarah Syarikat Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, 38, di Bukit Jalil Golf & Country Resorts dan di Jalan Telawi 3, Bangsar pada 16 Jun 2022 dan 7 Julai 2022.
Perkara itu sebagai dorongan dan upah untuk tertuduh sebagai Menteri Sumber Manusia memberikan kelulusan terhadap permohonan sebanyak 1,000 kuota pekerja asing bagi syarikat TYKB Engineering Sdn Bhd.
Bagi pertuduhan ketiga, Saravanan didakwa telah secara rasuah menerima wang RM597,000 daripada individu sama melalui sekeping cek bank yang didepositkan ke dalam akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn Bhd bagi tujuan serupa di Maybank Islamic Berhad, Cawangan Jalan Klang Lama, Taman Desa pada 7 Julai 2022.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.





