BEKAS Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta berhubung kelulusan bagi permohonan 1,000 kuota pekerja asing untuk sebuah syarikat, empat tahun lepas.
Saravanan, 58, yang juga Timbalan Presiden MIC, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan satu per satu di hadapan Hakim Azura Alwi.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Saravanan didakwa telah secara rasuah menerima wang tunai masing-masing RM150,000 dan RM350,000 daripada Pengarah Syarikat Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, 38, di Bukit Jalil Golf & Country Resorts dan di Jalan Telawi 3, Bangsar pada 16 Jun 2022 dan 7 Julai 2022.
Perkara itu sebagai dorongan dan upah untuk tertuduh sebagai Menteri Sumber Manusia memberikan kelulusan terhadap permohonan sebanyak 1,000 kuota pekerja asing bagi syarikat TYKB Engineering Sdn Bhd.
Bagi pertuduhan ketiga, Saravanan didakwa telah secara rasuah menerima wang RM597,000 daripada individu sama melalui sekeping cek bank yang didepositkan ke dalam akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn Bhd bagi tujuan serupa di Maybank Islamic Berhad, Cawangan Jalan Klang Lama, Taman Desa pada 7 Julai 2022.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaluddin mencadangkan jaminan RM800,000 dengan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap tiga bulan serta tidak mengganggu saksi-saksi.
“Jumlah ikat jamin yang dicadangkan adalah munasabah dan tidak keterlaluan memandangkan kesalahan adalah serius membabitkan RM1.09 juta,” kata Julalila yang turut bersama dengan seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib.
Bagaimanapun peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan satu jumlah ikat jamin yang munasbah selain pasport tidak ditahan.
“Tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik terhadap SPRM tanpa gagal, tiada suatu tertuduh memberi alasan berada di luar negara atau berada di tempat lain apabila dipanggil.
”Beliau juga nekad untuk membersihkan nama dan hari ini beliau sendiri telah hadir ke mahkamah dan ini membuktikan komitmen beliau menghadapi pertuduhan. Namun demikian bagi isu syarat tambahan pasport, pihak kami mohon ia tidak dikenakan.
“Ini kerana anak guam saya ada mendapatkan rawatan dari semasa ke semasa di sebuah hospital di Chennai, India selain beliau turut pengerusi beberapa yayasan dan sering dijemput ke luar negara,” kata peguam itu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM450,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran tempat tinggal tiga bulan sekali dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 29 September ini bagi sebutan semula kes





