`Saya sendiri tidak mampu tahan air mata’ – Kevin Choo

TANGISAN ahli fisioterapi, Choo Zhang Hui ketika berada di sisi Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari pengebumian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali Isnin lalu menjadi perhatian selepas rakaman momen itu tular di media sosial.

Menurut beliau yang lebih dikenali sebagai Kevin Choo, 31, keadaan Dr Mahathir yang ketika itu berdepan kehilangan besar membuatkan emosinya turut tersentuh sehingga tidak mampu menahan air mata.

“Melihat Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) dalam keadaan sedih, saya rasa sangat tersentuh hingga menitiskan air mata,” katanya, lapor BH.

Kevin yang mula bertugas sebagai ahli fisioterapi kepada pasangan itu sejak dua tahun lalu berkata, pada peringkat awal dia berasa sedikit kekok kerana menyedari kedudukan mereka sebagai tokoh negara.

“Ketika mula bertugas, ada sedikit rasa segan dan kekok kerana kita tahu siapa mereka. Namun lama-kelamaan, hubungan itu jadi lebih selesa.

“Walaupun pasangan itu sudah berusia, mereka tetap mempunyai semangat yang kuat untuk menjalani rawatan fisioterapi untuk kekal sihat,” katanya.

Mengimbas tugasnya pada hari pengebumian Dr Hasmah, Kevin berkata beliau berada di sisi Dr Mahathir bagi memantau keadaan kesihatannya serta memberikan bantuan fizikal yang diperlukan.

“Seperti yang diketahui, beliau (Dr Mahathir) sedang melalui kehilangan yang sangat besar dalam hidupnya. Walaupun Tun M berkerusi roda dan perlu bantuan oksigen, beliau tetap mahu berada di sana untuk memberikan penghormatan terakhir kepada isterinya.

“Secara peribadi, melihat keadaan itu memang memberi kesan kepada saya. Ia menunjukkan di sebalik figura tokoh besar, beliau juga seorang suami yang kehilangan insan paling penting dalam hidupnya.

“Sebagai petugas kesihatan, saya cuba untuk kekal profesional dan fokus kepada tugas. Namun dalam keadaan seperti itu, kita juga manusia yang mempunyai perasaan,” katanya.

Menurut Kevin, dia sendiri tidak menjangka emosinya ketika berada di sisi Dr Mahathir akan mendapat perhatian ramai selepas momen berkenaan tersebar di media sosial.

“Ketika itu, saya cuba menjalankan tugas seperti biasa. Sebagai seseorang yang mengenali dan bersama mereka selama beberapa tahun, perasaan itu memang sukar untuk digambarkan.

“Saya cuba menahan emosi tetapi akhirnya air mata tetap keluar dan saya rasa sesiapa pun yang berada di situ ketika itu merasakan betapa beratnya suasana berkenaan.

“Sebenarnya, kehilangan Tun Dr Hasmah juga memberi kesan kepada saya. Saya sudah beberapa tahun bersama dan mengenali mereka, jadi beliau bukan sekadar seseorang yang saya jaga sebagai sebahagian daripada tugas,” katanya.

Allahyarham Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi, Isnin lalu.

Pemergian Allahyarham disahkan anak lelakinya, Tan Sri Mokhzani Mahathir sebelum jenazahnya dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada petang hari yang sama.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here