Saya tak marah, cuma tegas: Anwar mohon maaf kepada penjawat awam nada agak keras

DATUK Seri Anwar Ibrahim memohon maaf jika penyampaiannya selama ini ditafsir sebagai agak keras dan tegas ketika menyampaikan amanat dan pesanan dalam pelbagai program bersama penjawat awam.

Menurut Perdana Menteri, gaya percakapannya mungkin dilihat agak canggung bagi sesetengah pihak yang berpandangan ia tidak sesuai bagi seseorang yang menerajui jawatan tertinggi dalam kerajaan.

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyantuni penjawat awam ketika menghadiri sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam Zon Tengah di Dewan Sultan Idris Shah (DSIS), Universiti Islam Selangor (UIS) di Kajang hari ini

Malah, Anwar turut mengakui sering dinasihatkan pihak tertentu supaya mengawal nada percakapan supaya tidak kedengaran seperti memarahi penjawat awam.

“Banyak orang cakap pada saya, tak boleh tinggi suara, (sebab) sudah jadi Perdana Menteri. Saya cuba (turunkan nada percakapan) tetapi kadang kala bila bercakap (perkara) yang menyentuh hati nurani dan perasaan, saya perlu bersuara.

“Saya mohon maaf jika ia (dirasakan) tidak sesuai bagi seorang Perdana Menteri. Saya tak pasti, mungkin seorang Perdana Menteri dirasakan perlu sentiasa tenang…tidak, tidak,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam Zon Tengah di Dewan Sultan Idris Shah (DSIS), Universiti Islam Selangor (UIS) di Kajang hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Naib Canselor UIS, Datuk Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut mengambil peluang menjelaskan, gaya percakapannya bukan atas niat memarahi penjawat awam, sebaliknya penegasan perlu dibuat kerana mereka memainkan peranan penting dalam menggerakkan dasar dan agenda pembangunan negara.

“Jika itu dianggap sebagai kesilapan, saya memohon maaf. Tetapi percayalah, saya hanya meluahkan apa yang saya rasa.

“Dengan siapa lagi saya hendak berkongsi kebimbangan ini kalau bukan dengan pasukan saya sendiri, jentera yang membantu melaksanakan program dan dasar negara?” katanya.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada penjawat awam yang memberikan komitmen tinggi dan menjadi tonggak kepada pelbagai pencapaian Kerajaan MADANI.

“Tentunya orang pertama yang ditanya (apabila negara capai kejayaan) adalah Perdana Menteri.

“Tetapi saya dengan penuh tawaduk ingin mengingatkan bahawa perkara ini (kejayaan kerajaan MADANI) tidak mungkin berlaku kalau tidak ada komitmen, kesungguhan, tahap kecerdasan dan dedikasi rakan penjawat awam,” jelasnya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img