TINDAKAN seorang wanita menyimpan dan menyebarkan video lucah membabitkan bekas suaminya bersama seorang wanita lain membawa padah apabila dia didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.
Tertuduh, Puteri Norfatimah Ishak, 25, yang bekerja sebagai pekerja kilang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didapati memiliki video dan gambar lucah dalam sebuah telefon bimbit jenis iPhone 12 Pro Max.
Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Ayer Keroh Lama dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 4 petang pada 11 Januari lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada Disember tahun lalu, pengadu menerima satu rakaman video daripada kakaknya yang dihantar menggunakan nombor telefon dipercayai milik bekas isteri kepada seorang lelaki yang dikenalinya.
Video berkenaan memaparkan pengadu sedang melakukan hubungan seks dengan bekas suami tertuduh yang dirakam tanpa pengetahuan dan persetujuan pengadu.
Siasatan lanjut mendapati rakaman tersebut dipercayai telah disebarkan kepada beberapa ahli keluarga terdekat pengadu.
Berasa teraniaya dan tidak berpuas hati dengan tindakan itu, pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri ketika memohon hukuman setimpal berkata, kesalahan dilakukan tertuduh membabitkan penyebaran bahan lucah individu yang boleh dikenal pasti sehingga mencabuli maruah dan privasi mangsa.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan tindakannya dilakukan ketika berada dalam keadaan emosi selepas mengalami keguguran selain perlu menanggung kedua-dua ibu bapanya.
Selepas meneliti fakta kes dan rayuan dikemukakan, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,800 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.


