SEORANG remaja lelaki berusia 18 tahun kerugian RM666 selepas menjadi mangsa pemerasan sindiket ‘scam seks’ yang mengugut mahu menyebarkan video lucah serta gambar bogelnya kepada kenalan rapat.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, mangsa membuat laporan polis pada jam 9.18 pagi semalam selepas diugut suspek yang mahu menyebarkan gambar serta video bogelnya.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 12.01 tengah malam ketika mangsa berada di rumahnya di Taman Mutiara, Jalan Jambusan sambil melayari Facebook sebelum memasuki aplikasi Pazzy.
“Tidak lama kemudian mangsa dihubungi seorang individu dikenali sebagai ‘Xiao Qi’ melalui aplikasi Telegram yang bertanyakan sama ada mangsa berminat melakukan hubungan seks.
“Suspek kemudian mengajak mangsa membuat panggilan video sebelum meminta mangsa mengambil gambar bogel dirinya sedang beronani dan menghantar gambar berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang terpedaya menuruti arahan itu sebelum menghantar beberapa gambar bogel kepada suspek.
“Tidak lama selepas itu, suspek kembali menghubungi mangsa dan meminta wang sebanyak RM3,800 sebagai balasan untuk tidak menyebarkan rakaman video serta gambar bogel berkenaan.
“Suspek turut mengugut akan menghantar rakaman video itu kepada semua kenalan mangsa sekiranya gagal membuat bayaran seperti diminta,” katanya.
Menurutnya, akibat ketakutan, mangsa membuat pembayaran sebanyak RM666 melalui imbasan kod QR Touch ‘n Go ke satu akaun dipercayai palsu.
Bagaimanapun, selepas pembayaran dibuat, suspek masih meminta wang tambahan sebelum mangsa tampil membuat laporan polis.
Mohd Haide berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berkenalan dengan individu tidak dikenali di media sosial dan tidak sewenang-wenangnya berkongsi gambar atau video peribadi yang boleh disalahgunakan pihak tertentu.


