PROJEK pembinaan Sekolah Sukan Malaysia Perlis (SSP) yang terbengkalai sejak 2013 dijangka siap tahun ini sebelum mula beroperasi sepenuhnya tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelesaian projek berkenaan menamatkan penantian selama 12 tahun bagi merealisasikan sebuah institusi pendidikan khusus untuk pembangunan atlet muda negara.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Kementerian Pendidikan atas kejayaan menyelesaikan masalah projek itu dalam tempoh kurang dua tahun.
“Masih saya ingat tatkala ke Perlis pada April 2025, dan Menteri Besar ketika itu, Mohd Shukri Ramli membangkitkan mengenai projek terbengkalai Sekolah Sukan Malaysia Perlis dan saya arahkan penyelesaian segera.
“Insya-Allah, tahun ini SSP siap dan boleh mula digunakan tahun depan. Terbengkalai selama 12 tahun, Alhamdulillah Kerajaan MADANI selesaikan dalam kurang dua tahun,” katanya yang juga Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Tambun.
Pada 27 April tahun lalu, Anwar mengarahkan projek berkenaan diserahkan kepada syarikat kerajaan yang berkeupayaan bagi memastikan pembinaannya dapat disiapkan segera.
Sebelum ini, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dilaporkan berkata, projek SSP dijangka siap pada Januari 2027 dengan kemajuan pembinaan ketika itu sekitar 60 peratus.
Projek berkenaan merangkumi pembangunan kompleks sekolah khusus dalam bidang sukan yang sepatutnya disiapkan pada 2014, selepas kerja pecah tanah dimulakan setahun sebelumnya.





