ENAM lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan dengan niat meminta wang tebusan RM8 juta, pertengahan bulan ini.
Kesemua tertuduh, Ravichandran Alichandram, 41, Elanggovan Rajeswaran, 41, Jeyaraj Mahalingam, 43, Moses De Britto John Patrick, 40, Ziyauddin, 33, dan Muhammad Afiq Safine, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama tujuh lagi individu yang masih bebas didakwa menculik seorang lelaki berusia 44 tahun dengan niat meminta wang tebusan RM8 juta di sebuah restoran di Dataran Sunway, Petaling Jaya kira-kira jam 5.15 petang pada 16 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin kepada semua tertuduh dan menetapkan 11 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, seorang ahli perniagaan diculik sebelum dibebaskan selepas wang tebusan dipercayai telah dibayar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar semalam memaklumkan, siasatan terhadap lapan suspek yang ditahan berhubung kes berkenaan telah selesai.
Menurut beliau, kertas siasatan sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 24 Julai lalu, sebelum pihak pendakwaan mengarahkan enam suspek lelaki tempatan didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik bagi mendapatkan wang tebusan.






