Oleh Datuk Mohamad Fauzi Husin
SETIAP tahun kita kibarkan Jalur Gemilang. Setiap tahun kita laungkan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Kita mengenang pengorbanan pejuang kemerdekaan.
Kita bercakap tentang patriotisme, maruah negara dan masa depan Malaysia. Tetapi sempena ulang tahun kemerdekaan ke-69 ini, ada satu soalan yang mungkin lebih penting daripada semua laungan itu: Kita sudah merdeka daripada penjajahan.
Tetapi apakah jiwa mereka yang memegang kuasa juga sudah merdeka? Kita sudah 69 tahun negara merdeka, tetapi mengapa jenayah rasuah, pecah amanah dan pelbagai bentuk krisis integriti masih menghantui kita?
Soalan ini semakin relevan apabila isu rasuah, salah guna kuasa, konflik kepentingan dan kelemahan tadbir urus terus muncul di negara ini, termasuk melibatkan mereka yang pernah berada di kedudukan tinggi dalam kerajaan.
Merdeka Daripada Penjajah, Tetapi Belum Merdeka Daripada Rasuah?
Perkembangan mutakhir sepatutnya membuat kita berhenti sejenak. Pada 27 Ogos lalu, tiga bekas Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk prosiding berasingan.
Sehari kemudian, bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan pula didakwa atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM1.097 juta berkaitan kelulusan kuota pekerja asing. Beliau mengaku tidak bersalah.
Hal ini bukan soal menyatakan seseorang itu bersalah sebelum mahkamah membuat keputusan. Prinsip keadilan mesti kita hormati. Kita wajib menghormati prinsip undang-undang: Pertuduhan bukan sabitan. Seseorang hanya bersalah selepas diputuskan demikian oleh mahkamah.
Akan tetapi sebagai rakyat, kita tetap mempunyai hak untuk bertanya: Mengapa isu integriti terus berulang di peringkat kuasa tinggi? Apa yang lebih penting: Adakah kita sedang menyelesaikan punca masalah atau hanya menghukum mereka selepas masalah berlaku?
Ini Bukan Lagi Soal Seorang, Dua Atau Tiga Individu
Kita tidak sepatutnya melihat setiap kes sebagai cerita tentang seorang individu semata-mata. Jika satu kes berlaku, kita mungkin bertanya tentang individu. Jika kes yang sama berulang berkali-kali, kita mesti mula bertanya tentang sistem. Apakah ruang yang membolehkan penyalahgunaan kuasa berlaku?
Apakah mekanisme semak dan imbang yang gagal? Apakah konflik kepentingan yang tidak dikesan? Apakah kelemahan dalam proses perolehan? Apakah budaya dalam organisasi yang menyebabkan salah laku boleh berlaku tanpa segera dihentikan?
Hal ini kerana kalau kita hanya menghukum orang selepas skandal berlaku, tetapi tidak membaiki sistem yang membuka ruang kepada penyalahgunaan, kita sebenarnya hanya memadam api tanpa membaiki punca kebakaran.
Rasuah Bukan Sekadar Wang Dalam Poket
Hal inilah perkara yang perlu kita fahami. Rasuah bukan hanya wang tunai diselitkan ke dalam sampul.
Rasuah juga berkait dengan penyalahgunaan amanah, kuasa dan kedudukan. Ia boleh bermula apabila seseorang menggunakan kedudukannya untuk memberi kelebihan kepada pihak tertentu. Ia boleh bermula apabila konflik kepentingan tidak diisytiharkan.
Ia boleh bermula apabila proses yang sepatutnya telus menjadi tertutup. Ia boleh bermula apabila hubungan lebih penting daripada kelayakan. Malah ia menjadi lebih berbahaya apabila budaya “orang kita” mengatasi prinsip. Di sinilahintegriti mula mati.
Tabung Haji: Apabila Tadbir Urus Menjadi Persoalan
Perkembangan terbaru berkaitan Tabung Haji juga wajar menjadi pengajaran. Pada Ogos 2026, SPRM menahan tujuh individu dalam siasatan susulan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan Tabung Haji, termasuk seorang CEO, bekas pengarah, seorang pengarah dan empat bekas eksekutif kanan.
Siasatan melibatkan antara lain dakwaan dokumen palsu, keputusan pelaburan dan isu berkaitan pengurusan aset. Beberapa hari sebelumnya, bekas CEO dan CFO sebuah syarikat milik badan berkanun turut ditahan dalam siasatan berkaitan pemerolehan saham bernilai RM370 juta.
Sekali lagi, kita tidak boleh menghukum sebelum proses undang-undang selesai. Pengajaran daripada isu ini amat jelas: Krisis integriti tidak semestinya bermula apabila wang masuk ke poket seseorang.
Ia boleh bermula apabila keputusan dibuat tanpa ketelusan, pengawasan lemah dan amanah institusi tidak lagi menjadi keutamaan.
Apabila Pegawai Kanan Pun Terpalit, Apa Yang Berlaku Pada Budaya Organisasi?
Pada awal 2026, beberapa pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia turut menjadi subjek siasatan dan pertuduhan berkaitan dakwaan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, termasuk dalam isu perolehan dan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera. Data yang lebih luas juga perlu kita renungkan.
Sejak 2024 sehingga April 2026, SPRM melaporkan 2,633 Kertas Siasatan (KS) dibuka, 1,095 pertuduhan dan 563 sabitan. Bakinya, prosiding masih berjalan. Angka ini menunjukkan penguatkuasaan sedang berjalan.
Akan tetapi angka yang sama juga sepatutnya membuat kita bertanya: Mengapa selepas begitu banyak tangkapan, pertuduhan dan sabitan, masalah integriti masih terus muncul?
Jawapannya mungkin terletak pada satu perkara: Kita terlalu banyak bercakap tentang menghukum perasuah, tetapi belum cukup serius membina integriti dan sistem yang menyukarkan rasuah berlaku.
Jiwa Yang Belum Merdeka
Apakah maksud jiwa yang belum merdeka? Jiwa yang masih diperhambakan oleh wang. Masih diperhambakan oleh kuasa. Masih diperhambakan oleh kedudukan. Masih diperhambakan oleh kronisme. Masih diperhambakan oleh kepentingan keluarga dan kelompok. Dan yang paling berbahaya: Apa yang menganggap amanah rakyat sebagai hak peribadi.
Pemimpin yang benar-benar merdeka jiwanya tidak bertanya: “Apa yang aku boleh dapat daripada jawatan ini?” Sebaliknya dia bertanya: “Apa yang boleh aku lakukan untuk rakyat sebelum amanah ini berakhir?” Itulah perbezaan antara memegang kuasa dengan memikul amanah.
Pemimpin Yang Merdeka Jiwanya Tidak Takut Kepada Ketelusan
Pemimpin yang benar-benar berintegriti tidak takut kepada audit. Tidak takut kepada siasatan oleh SPRM. Tidak takut kepada soalan rakyat. Tidak takut kepada pengisytiharan kepentingan. Tidak takut kepada semak dan imbang oleh pihak berkepentingan. Tidak takut kepada media sosial.
Apa yang paling penting, dia takut kepada Allah SWT dan dia tidak takut kepada undang-undang. Kerana dia faham: Jawatan itu sementara. Amanah itu kekal dalam rekod sejarah.
Hari ini berkuasa. Esok mungkin tidak. Hari ini dipuji. Esok mungkin dikritik. Akan tetapi keputusan seorang pemimpin boleh memberi kesan kepada rakyat selama puluhan tahun.
Jangan Hanya Tanya Siapa Yang Rasuah
Kita mesti bertanya lebih jauh. Bagaimana ia berlaku? Siapa yang sepatutnya mengawasi? Mengapa kawalan gagal? Mengapa konflik kepentingan tidak dikesan? Mengapa sistem membenarkan seseorang mempunyai ruang dan peluang untuk menyalahgunakan kuasa?
Jika selepas kes terbongkar: Apakah yang berubah? Hal inilah soalan yang sepatutnya dijawab oleh kerajaan, institusi dan semua pihak yang memegang amanah. Hal ini kerana rakyat tidak hanya mahu melihat orang ditangkap semata-mata.
Rakyat mahu melihat sistem diperbaiki dan perbuatan jenayah itu tidak berulang.
Merdeka Daripada “Orang Kita”
Antara penyakit paling berbahaya dalam kehidupan awam ialah mentaliti: “Asalkan orang kita.” Jika orang kita salah, kita diam. Jika orang kita dikritik, kita pertahankan. Jika orang kita disiasat, kita anggap konspirasi. Jika orang kita didakwa di mahkamah, kita kata pendakwaan terpilih. Jika orang kita berkuasa, kita anggap semuanya wajar.
Mentaliti ini mesti kita merdekakan. Kesetiaan kepada parti politik tidak boleh mengatasi kesetiaan kepada negara. Kesetiaan kepada pemimpin tidak boleh mengatasi kesetiaan kepada kebenaran dan keadilan. Kesetiaan kepada kelompok atau kroni tidak boleh mengatasi amanah kepada rakyat.
Kita sudah lama merdeka daripada penjajah, tetapi sudahkah kita merdeka daripada kerakusan? Mungkin inilah persoalan paling tajam sempena hari Merdeka. Kita berjaya membebaskan negara daripada kuasa penjajah asing.
Akan tetapi kita masih berdepan dengan penjajahan yang lebih halus: Penjajahan oleh wang, penjajahan oleh kuasa, penjajahan oleh kronisme, penjajahan oleh kepentingan diri, dan penjajahan oleh budaya “asalkan aku dapat”.
Penjajah dahulu mengaut hasil atau sumber negara, tetapi jika pemimpin sendiri menyalahgunakan amanah. Siapakah sekarang ini yang mengaut dana awam dan kekayaan negara? Siapakah yang sebenarnya merampas masa depan rakyat?
Jangan Hanya Laung “Merdeka!”
Pada 31 Ogos, kita akan mengibarkan Jalur Gemilang. Kita akan menyanyikan lagu patriotik. Kita akan mendengar ucapan tentang perjuangan masa lalu dan hala tuju masa depan Malaysia.
Akan tetapi selepas semua itu selesai, satu soalan masih menunggu: Adakah jiwa kita juga sudah merdeka? Terutama mereka yang diberikan jawatan, pangkat dan kuasa dalam pentadbiran kerajaan dan perkhidmatan awam. Hal ini kerana rakyat tidak memerlukan pemimpin yang hanya pandai bercakap, pandai berjanji dan sering melaungkan: “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”
Rakyat memerlukan pemimpin yang mampu berkata: “Aku merdeka daripada rasuah. Aku merdeka daripada kerakusan mengumpul kekayaan secara rasuah. Aku merdeka daripada kronisme. Aku merdeka daripada kepentingan diri. Aku merdeka untuk memilih yang benar walaupun tiada siapa melihat.” Itulah kemerdekaan sebenar.
Perjuangan memerdekakan jiwa, institusi dan sistem pemerintahan daripada rasuah masih belum selesai. Hal ini kerana sebuah negara tidak menjadi hebat hanya kerana benderanya berkibar tinggi.
Sebuah negara menjadi hebat apabila amanah dihormati,kuasa dikawal, undang-undang ditegakkan dan rakyat tidak perlu takut kepada mereka yang memegang kuasa. Jadilah negara ini dikenali sebagai sebuah negara bebas rasuah. Jangan negara ini dikenali dunia sebagai negara mengamalkan rasuah.
Kemerdekaan Sebenar Bermula Dalam Jiwa
Malaysia sudah merdeka daripada penjajahan. Tetapi perjuangan belum selesai. Kita masih perlu memerdekakan negara daripada rasuah. Memerdekakan institusi daripada campur tangan yang tidak wajar. Memerdekakan pentadbiran daripada kronisme.
Memerdekakan keputusan daripada konflik kepentingan. Apa yang paling penting: Memerdekakan jiwa manusia daripada kerakusan apabila diberikan kuasa. Hal ini kerana
akhirnya, persoalannya bukan: “Berapa tahun Malaysia sudah merdeka?” Akan tetapi: “Berapa jauh kita sudah merdeka daripada perkara yang merosakkan negara?”
Untuk mereka yang memegang amanah rakyat, soalan itu lebih tajam: “Apabila negara sudah merdeka selama 69 tahun, apakah jiwa kamu juga sudah merdeka?” Jangan hanya kibarkan Jalur Gemilang.
Kibarkan juga bendera integriti dalam jiwa. Kita memerlukan merdeka institusi, merdeka pemikiran dan merdeka daripada rasuah. Paling utama ialah merdeka jiwanya.
SELAMAT HARI KEBANGSAAN
- Penulis adalah Presiden Pertubuhan Integriti Dan Antirasuah (INTRAS), Mantan Timbalan Pesuruhjaya SPRM





