Kalaupun tak mahu berterimakasih jangan jadi ‘makhluk perosak’

PENGUMUMAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan mengembalikan kelayakan asas subsidi petrol RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan mulai esok amat dinanti-nantikan.

Sejak April lalu apabila kerajaan mengurangkan kelayakan asas BUDI95 kepada 200 liter, ramai yang mengeluh. Walaupun  hanya bersifat sementara namun ia tidak terlepas daripada kritikan apatah lagi apabila ada ‘juak-juak’ politik mengambil kesempatan.

Pengurangan sementara itu dilakukan susulan ketidaktentuan bekalan bahan akibat konflik di Asia Barat. Tetapi semalam, bukan sahaja kuota RN95 dikembalikan kepada 300 liter malah Anwar turut mengumumkan:

“Lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak pula akan menikmati Budi Diesel sehingga 400 liter sebulan,” kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan ketika menyampaikan amanat perdana sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Putrajaya.

Sememangnya pengumuman Perdana Menteri itu dianggap sebagai hadiah menyambut kemerdekaan kepada rakyat. Ia memandangkan sebelum ini ramai yang mengeluh berikutan kuota 200 liter. Ketika itu dalam media sosial pelbagai kritikan, kecaman dan tohmahan dilemparkan terhadap kerajaan tanpa mahu mempertimbangkan kenapa kerajaan terpaksa bertindak demikian.

Istilah ‘sementara’ langsung tidak dipedulikan sebaliknya kerajaan dituduh tidak prihatin terhadap kesusahan rakyat. Tetapi semalam Perdana Menteri membuktikan bahawa apa yang kerajaan lakukan sebelum ini ada sebabnya dan kini apabila keadaan agak stabil maka janji kuota dikembalikan kepada 300 liter bagi RON95 ditunaikan.

Ramai menarik nafas lega, berterima kasih dan bersyukur. Justeru kita tidak usah terganggu dengan segelintir puak yang tidak habis-habis melihat apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan akibat konflik di Asia Barat dari sudut negatif.

Mereka ini ibarat ‘mkhluk perosak’ yang cuba meracuni fikiran rakyat disebabkan ‘kepala otak dipenuhi ulat politik’. Sebaik manapun sesuatu tindakan  dilakukan oleh kerajaan pastinya golongan itu tidak akan berterima kasih.

Begitulah juga apabila Perdana Menteri mengumumkan berhubung kuota 300 liter tersebut, ia tetap dipandang negatif oleh kelompok berkenaan yang kita tahu ke arah mana kecenderungan politik mereka.

Hakikatnya tidak salah mereka ada pegangan politik, tidak kisahlah siapapun mereka mahu sokong tetapi janganlah segala kebaikan kerajaan yang bertujuan mengurangkan beban rakyat turut dipolitikkan.

Tak kanlah  mengembalikan kuota 300 liter daripada 200 liter pun dianggap tidak wajar lagi? Apa yang mereka mahukan? Kalau mahu berpolitikpun biarlah bertempat.

Setiap keputusan kerajaan khususnya melibatkan ekonomi termasuk dalam isu bahan api bukan dibuat sembrono atau bak kata orang bangun tidur saja terus buat keputusan…bukan begitu kaedahnya.

Sebaliknya ia dibuat dengan berhati-hati melalui fakta-fakta yang dikumpulkan oleh Kementerian Kewangan (Mof) dan kementerian-kementerian lain yang terlibat. Ia diteliti dan dikaji sebelum keputusan dibuat demi kebaikan rakyat dan negara.

Walaupun mungkin ada keputusan dibuat tidak popular tetapi kerajaan perlu melakukannya juga demi masa depan negara.

Oleh itu cukup-cukuplah mahu bermain politik. Janganlah hanya bijak mahu meracuni fikiran rakyat dengan menyeleweng fakta, janganlah mahu mengelirukan rakyat dengan hujah ‘separuh masak’.

Gunakanlah kebijaksanaan yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk mendidik rakyat negara ini supaya banyak-banyak bersyukur memandangkan situasi kita jauh lebih baik daripada rakyat negara lain termasuk negara jiran.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here