Bersatu usah ‘merintih’ soal PN, tumpukan usaha elak hilang deposit lagi

PENULIS tidak tahu berapa lama lagi Bersatu akan terus kelam-kabut berhubung kedudukan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN).

Malah penulis juga tidak pasti sampai bila Bersatu terus merintih kerana dipinggirkan daripada gabungan itu walaupun masih menjadi anggota yang sah.

Tetapi apa yang pasti, daripada Bersatu terus merintih dan terus mahu berbalah dengan Pas yang kini menjadi tonggak utama PN, lebih baik jika Bersatu tumpu untuk memulihkan kekuatannya.

Selepas Johor dan Negeri Sembilan, tidak lama lagi Melaka pula akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN). Di Johor, Bersatu kalah kesemua 16 kerusi ditandinginya daripada jumlah itu 10 kerusi hilang deposit, di Negeri Sembilan lebih teruk, Bersatu ‘gigit jari’ apabila bertanding 24 kerusi kesemuanya kalah dan 23 daripadanya hilang deposit.

Jadi penulis nasihatkan Bersatu, tak payahlah dok ‘kepoh’ soal PN lagi. ‘Barang yang lepas jangan dikenang’. Tumpu kuatkan kembali parti itu. Pemimpin Bersatu tidak usah dok komen nak kritik Pas.

Bersatu kena terima hakikat bahawa parti itu semakin lemah dan semakin hilang kekuatan. Kewibawaan pemimpin-pemimpin makin dipersoalkan sehingga  rakyat sudah tidak peduli lagi apapun berlaku kepada Bersatu yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya mereka khususnya orang Melayu menumpukan perhatian kepada gerakan penyatuan Melayu  melibatkan dua parti utama orang Melayu iaitu UMNO dan Pas di samping Wawasan sebagai pelengkap. Keampuhan tiga parti ini sudah terbukti di Negeri Sembilan.

Pemimpin Bersatu jangan ingat bahawa tindakan mereka terus membuat kenyataan yang dilihat mahu memburuk-burukkan Pas akan memberi kesan kepada Pas, sebaliknya langkah itu hanya akan menyebabkan Bersatu terus merana.

Bersatu tidak ada apa-apa kekuatan lagi selepas tercetusnya kemelut dalam parti itu sehingga ada  ahli Parlimen serta ADUNnya dipecat atau digantung. Tindakan itulah yang menjadi punca Bersatu berada dalam kedudukan sekarang.

Kalau Bersatu mengatakan pemecatan dan penggantungan itu tidak memberi kesan sebaliknya lebih menguatkan Bersatu, kenapa  Bersatu tersungkur di Johor, tersembam di Negeri Sembilan? Apa jaminannya Bersatu tidak mungkin ‘tertiarap’ di Melaka dan kemudiannya ‘terkubur’ dalam PRU-16.

Oleh itu Bersatu jangan buang masa untuk terus berbalah dengan Pas atau bertindak macam ‘orang gila talak’ bila Pas memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.

Usahalah kumpulkan kekuatan, perbaiki segala kelemahan dan perbetulkan kerosakan yang terjadi akibat konflik dalaman yang semakin mengheret Bersatu ‘ke kuburan politik’.

Jangan ingat Bersatu tidak mungkin ‘terkubur’, jangan dibuai dengan analisis kononnya Bersatu boleh berdiri tanpa Pas. Kalau betullah Bersatu ada kekuatan sendiri sudah pasti calonnya tidak hilang deposit dalam pilihan raya.

Mahu tidak mahu, Bersatu harus cari kawan baru atau kembali kepada kawan lama untuk memastikan parti itu ’terus hidup’ di persada politik tanah air. Kena cari kawan-kawan yang betul-betul ampuh bukannya yang berada dalam kelompok ‘hidup pun segan mati tak mahu’. Siapa kawan ampuh itu..rasanya pemimpin Bersatu pun tahu…’jangan malu-malu’ untuk berterus-terang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here