MAHKAMAH Majistret Putrajaya hari ini membenarkan perintah reman selama enam hari terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Fatin Muneerah Sofian dalam prosiding di hadapannya hari ini.
Ia bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 membabitkan kes klip video yang memaparkan perbualan antara seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong dan seorang ahli perniagaan, Albert Tei.
Peruntukan mengikut Seksyen 16 membabitkan kesalahan meminta atau menerima atau bersetuju untuk menerima rasuah. Ia juga membabitkan kesalahan secara rasuah memberikan, menjanjikan atau menawarkan suapan atau dorongan.
Peguam Yusmadi Yusoff yang mewakili Shamsul Iskandar ketika ditemui berkata, perintah reman selama enam hari diberikan mahkamah selepas mengambil kira anak guamnya memerlukan rawatan bagi pelbagai penyakit dihidapinya.
“Pihak SPRM minta tujuh hari, namun selepas hujahan peguam, mahkamah mempertimbangkan banyak perkara termasuk faktor kesihatan Datuk Shamsul. Beliau telah diberi enam hari tahanan reman.
“Untuk rekod, Datuk (Shamsul) memang menjalani rawatan sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Laporan rawatan daripada IJN kita akan bekalkan, semua kita buka,” katanya, lapor Astro Awani.
Dalam pada itu, beliau turut berharap siasatan dapat diselesaikan segera seperti yang dinyatakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
“Kita berharap siasatan ini dapat disiapkan dengan cepat seperti yang disebut Tan Sri Azam Baki. Saya mahu keadilan diberikan secara adil kepada anak guam saya.
“Dalam hal ini, saya ucap terima kasih setakat ini kepada segala kerjasama yang diberikan oleh SPRM terhadap anak guam saya,” ujarnya lagi.
Sebelum itu, Majistret Fatin Muneerah turut membenarkan SPRM menahan reman Albert selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dakwaan berkait klip video yang memaparkan perbualannya dengan Sofia Rini.
Perkara itu disahkan oleh peguam Albert, Mahajoth Singh ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.
Mahajoth berkata, pihaknya langsung tidak dibenarkan bertemu Albert sebelum prosiding bermula.
“We were not allowed at all. Kami tidak dibenarkan jumpa anak guam kami semasa di dalam mahkamah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihaknya mengemukakan beberapa hujah utama termasuk dakwaan bahawa Albert sentiasa memberi kerjasama.
“Tiada isu tak beri kerjasama. Malah sudah ada persetujuan antara Albert dan SPRM bahawa beliau akan hadir pada 1 haribulan. Semua orang tahu perkara itu, SPRM sendiri keluarkan kenyataan. Tetapi mereka serbu rumahnya semalam dan kata beliau tak bekerjasama. Itu tidak benar,” katanya.
“Jika SPRM sendiri umum Albert akan hadir pada 1 haribulan, siapa sebenarnya yang tidak berkata benar?” ujarnya.
Menurutnya lagi, hanya selepas mahkamah membenarkan mereka berjumpa anak guam, barulah diketahui bahawa Albert disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
“Bayangkan sejak mereka hubungi dan serbu rumahnya, tiada siapa beritahu tuduhan atau seksyen siasatan. Hanya hari ini kami dimaklumkan beliau disiasat bawah Seksyen 16,” katanya.
Shamsul Iskandar dan Albert Tei dibawa keluar dari mahkamah oleh pegawai SPRM pada pukul 12 tengah hari tadi.

Terdahulu, Albert atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, bersama Shamsul Iskandar dibawa dengan menaiki van SPRM ke Kompleks Mahkamah Putrajaya bagi mendapatkan perintah reman.
Media semalam melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Albert ditahan kerana menjadi individu paling penting dalam siasatan dakwaan membabitkan Shamsul Iskandar yang turut ditahan semalam.
Azam semalam turut mengesahkan pihaknya telah mendapatkan perintah reman selama empat hari terhadap Sofia Rini sehingga 1 Disember ini.


