DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berhubung perkembangan terkini konflik di Asia Barat yang semakin memberi tekanan kepada rantaian bekalan tenaga global, termasuk di rantau Asia Tenggara.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, kedua-dua pemimpin itu menyambut baik perkembangan gencatan senjata sementara yang melibatkan Amerika Syarikat (AS), Iran, Israel dan Lubnan.
Beliau menegaskan, semua pihak perlu segera menyokong usaha ke arah penyelesaian yang lebih menyeluruh dan berkekalan.
“Malaysia menyokong usaha diplomatik yang sedang digerakkan, termasuk peranan Pakistan dalam membuka ruang dialog antara pihak terlibat,” katanya dalam hantaran tersebut malam ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan kepentingan mengekalkan kebebasan serta keselamatan laluan maritim di Selat Hormuz selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Mengulas isu tenaga, Perdana Menteri berkata, perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan sistem grid tenaga serta menangani cabaran keseimbangan antara penawaran dan permintaan.
Katanya, ia turut merangkumi langkah mempercepat pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN yang dilihat sebagai strategi serantau.
“Insya-Allah, melalui kerjasama erat dan pendekatan berpaksikan kepentingan rakyat, kita akan terus memastikan Malaysia dan ASEAN kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global ini,” ujarnya.


