Siasatan terhadap TH, Felda perlu dibuat secara telus, segera – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan siasatan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) dan Felda akan dilaksanakan dengan telus dan segera.

Perdana Menteri berkata, tindakan tegas akan dijalankan terhadap mereka yang bersalah tanpa mengira parti politik.

“Saya memastikan penyiasatan terhadap TH dan Felda dijalankan secara berterusan serta segera dan tindakan yang tegas diambil terhadap kalangan yang merosakkan, kerana nafsu serakah mereka,” katanya berucap pada Sesi Ramah Mesra bersama Pengurusan Tertinggi Felda di Bangi, hari ini.

Perdana Menteri semalam menegaskan, siasatan terhadap dakwaan salah laku yang didedahkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH dan Felda tidak didorong unsur dendam politik.

Beliau semalam berkata, kerajaan tidak akan mencampuri urusan siasatan atau keputusan pendakwaan kerana ia adalah bidang kuasa agensi penyiasat dan Peguam Negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, siasatan terhadap syarikat berkaitan kerajaan itu tidak boleh dikaitkan dengan isu kaum atau agama.

Menurut beliau, pihaknya juga kesal apabila ada pemimpin Islam yang menyifatkan sasaran diambil terhadap TH hanya kerana ia membawa jenama Islam.

“Kita ambil tindakan, kita tak tanya itu syarikat Melayu ke syarikat kerajaan. Kalau ada kita kenal pasti masalah, kita akan ambil tindakan.

“Jangan jadikan ini sebagai permasalahan kaum atau agama, seperti dalam TH malah kalau tanya saya, orang Islam, orang Melayu patut lebih bersungguh-sungguh, lebih teliti dalam soal pengurusan, akhlak dan nilai, kerana kita patut jadi contoh,” katanya.

Anwar berkata, sebarang permasalahan yang berlaku perlu dikenal pasti secara menyeluruh dan tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa tindakan.

Menurutnya, pihak bertanggungjawab perlu turun ke lapangan dan memahami permasalahan sebenar, bukannya hanya bergantung kepada laporan di peringkat pengurusan.

“Pertamanya, kita harus tahu sepenuhnya permasalahan. Masalah besar ini bukan masalah yang menjadi tanggungjawab Perdana Menteri untuk mengurus semuanya. Kita harus tahu apa isu sebenar.

“Bukan masalah duduk di pejabat. Sudah di lapangan, kita tahu permasalahan,” katanya



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here