Pengawal keselamatan dipenjara lapan tahun, dua sebatan amang seksual murid lelaki

MAHKAMAH Sesyen Muar hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan ke atas seorang pengawal keselamatan selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki di sebuah pusat sumber di Batu Pahat, bulan lalu.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Muzaffar Shah Jaamat, 31, mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling ketika tahanan dan pengawasan polis sebaik selesai hukuman selari dengan Seksyen 26 dan Seksyen 27 AKKSTKK.

Mengikut pertuduhan, Muzaffar yang bakal melangsungkan perkahwinan awal tahun depan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap murid lelaki berusia 10 tahun di sebuah pusat sumber di Batu Pahat, pada jam 3.30 petang sekitar bulan lalu, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Hasil siasatan polis mendapati, mangsa dan tertuduh saling mengenali serta sering bermain permainan dalam telefon bimbit di pusat sumber terbabit.

Berdasarkan fakta kes, pada jam 12.51 tengah hari Isnin lalu, satu laporan polis dibuat sebaik menerima panggilan daripada pihak sekolah berhubung kejadian murid menjadi mangsa perbuatan tidak senonoh.

Bertindak atas maklumat, polis menahan tertuduh di sebuah sekolah yang sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan pada jam 8.50 malam hari sama laporan dibuat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sapian, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here