Sikap impulsif, emosi pemimpin boleh bawa kerosakan kepada rakyat – Sultan Nazrin

PEMIMPIN yang bertindak secara impulsif, melatah dan melulu mengikut dorongan hati serta pengaruh emosi boleh mengundang kerosakan yang akhirnya terpaksa dibayar dengan harga mahal oleh rakyat jelata yang tidak berdosa.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, kepimpinan yang tenang, terbuka dan berhati-hati dalam membuat pertimbangan berasaskan maklumat yang mencukupi merupakan antara pengajaran penting daripada peristiwa Hijrah Rasulullah SAW.

“Amatlah malang bagi sesebuah negara dan bangsa apabila pemimpin bertindak secara terburu-buru tanpa berfikir panjang serta mengutamakan kepentingan jangka pendek yang kerosakannya terpaksa dibayar dengan harga mahal oleh rakyat jelata yang tidak berdosa,” titah baginda.

GABAR: Astro Awani

Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada perasmian Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448 Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, di Putrajaya hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Pada majlis itu, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merangkap Ahli Falsafah Muslim, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan manakala Pakar Fiqah Islam dari Maghribi, Dr Ahmad Al-Raysuni diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa bagi tahun 1448H.

Sultan Nazrin bertitah, Hijrah bukan sekadar menyaksikan perpindahan sekumpulan manusia secara fizikal dari sebuah kota ke sebuah kota, sebaliknya merupakan titik peralihan kehidupan insan daripada kelemahan kepada kekuatan, daripada penindasan kepada kebebasan dan daripada perpecahan kepada pembinaan masyarakat yang bersatu dan berperadaban berteraskan iman, ilmu dan akhlak.

“Terdapat empat pengajaran utama daripada peristiwa Hijrah yang boleh dijadikan panduan dan pedoman iaitu kesanggupan melakukan pengorbanan, perancangan yang strategik dan kepimpinan berwawasan, perpaduan dan kerjasama membina kekuatan serta tawakal kepada pertolongan Allah SWT.

“Pengorbanan adalah faktor asas kepada setiap kejayaan besar dan perjuangan menjadi tidak bermakna tanpa pengorbanan,” titah baginda.

Titah baginda, pengorbanan tidak sekadar reda hilang sesuatu yang kita sayangi, tetapi kesanggupan meletakkan kepentingan yang lebih besar mengatasi kepentingan diri sendiri.

“Pengorbanan menuntut keberanian, ketabahan dan keikhlasan serta memerlukan kesediaan meninggalkan keselesaan, menanggung kesukaran dan menghadapi kesulitan demi mencapai matlamat yang lebih mulia.

“Semangat pengorbanan kini kelihatan semakin kabur dalam kalangan ummah dan penghayatannya semakin pupus,” titah baginda.

“Ummah wajib difahamkan akan nilai pengorbanan, disemai dengan semangat bersedia berkorban dan menjadikan pengorbanan sebagai budaya hidup demi kelangsungan negara untuk menghadapi gelora dan gelombang dunia yang semakin mencabar,” titan baginda.

Sultan Nazrin bertitah, Hijrah Rasulullah SAW tidak dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya dirancang dengan sangat teliti termasuk memeta laluan yang selamat, melakukan persediaan yang baik, mendapatkan maklumat risikan dan bertindak secara strategik.

“Rasulullah SAW turut mendapatkan khidmat Abdullah bin Uraiqit sebagai pemandu jalan walaupun ketika itu beliau belum memeluk Islam dan masih berada dalam agama musyrik Quraisy kerana terkenal dengan sifat amanah, mahir tentang laluan padang pasir serta boleh dipercayai.

“Kisah ini dijadikan contoh bahawa Islam mengiktiraf kepakaran, integriti dan amanah seseorang tanpa prejudis terhadap latar belakang agama selagi mereka tidak memudaratkan umat Islam,” titah baginda.

Baginda bertitah, kisah itu turut menunjukkan pentingnya seseorang pemimpin bersifat tenang, terbuka serta berhati-hati melakukan pertimbangan berasaskan maklumat yang cukup ketika membuat sesuatu keputusan penting.

“Perpaduan dan kerjasama di samping kepimpinan yang adil lagi berhikmah menjadi kekuatan utama membangunkan tamadun Islam.

“Kejayaan sesebuah negara amat bergantung pada kesediaan rakyatnya untuk bekerjasama, saling menghormati dan hidup dalam suasana harmoni walaupun terdapat perbezaan dari segi latar belakang kaum, budaya dan agama,” titah baginda.

Baginda turut bertitah, tawakal adalah sumber kekuatan rohani yang menjadikan seseorang lebih tenang, tabah, yakin dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran kehidupan.

“Sambutan Maal Hijrah bukan sekadar memperingati satu tarikh baharu dalam takwim atau nostalgia terhadap peristiwa yang berlaku lebih 14 abad lalu, sebaliknya hendaklah dijadikan detik untuk melakukan muhasabah dan mengimbas segala kesilapan yang berlaku.

“Ketika melangkah kaki ke tahun Hijrah 1448, sebaiknya kita mengambil ingatan akan firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr, ayat 18 yang bermaksud, wahai orang-orang yang beriman. Bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah disediakannya untuk hari esok.

“Ayat ini sebaiknya mengingatkan kita untuk melakukan muhasabah terhadap perjalanan hidup, mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki supaya kita tidak terlalu selesa dan kadangkala lalut dan lemas dalam lautan kata-kata pujian yang palsu,” titah baginda.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img