POLIS Diraja Malaysia menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan ruang letak kenderaan tingkat bawah sebuah pasar raya sebagai lokasi pengedaran dan merampas dadah jenis methamphetamine dan ketamin bernilai RM13.8 juta pada 1 September lalu.
Kejayaan itu melibatkan dua serbuan yang dilakukan di tempat letak kenderaan aras bawah (basement) sebuah pasar raya di Petaling Jaya, Selangor dan pekarangan sebuah stesen minyak di kawasan rehat dan rawat (R&R) Simpang Pulai, Perak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis turut menahan enam lelaki tempatan berusia lingkungan 26 hingga 46 tahun, termasuk seorang bekas anggota polis yang terlibat dalam sindiket itu.
Menurut beliau, serbuan pertama di pasar raya di Petaling Jaya yang dijadikan lokasi transaksi pengedaran dan di situ polis memeriksa sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dan dua kereta Perodua Myvi.
“Dalam serbuan tersebut, polis menahan lima suspek dan merampas 263 bungkusan plastik disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 273 kilogram (kg) dan 98 bungkusan plastik disyaki ketamin seberat 101kg,” katanya.
Serbuan kedua dilakukan di kawasan R&R Simpang Pulai, Perak membawa kepada penangkapan suspek keenam yang berperanan sebagai peninjau, namun tiada barang salah ditemukan dalam kenderaan miliknya, tambah beliau.
“Siasatan mendapati bekalan dadah tersebut dibawa masuk dari negara jiran di sebelah utara melalui Perlis menggunakan ‘laluan tikus’ yang boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda.
“Bekalan itu kemudiannya dibawa ke Lembah Klang untuk pasaran tempatan dan jumlah rampasan dianggarkan mampu menampung kegunaan seramai 1.7 juta penagih,” katanya.
Hussein berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek pertama dan kedua positif dadah jenis ganja, manakala suspek ketiga dan keempat positif methamphetamine.
“Semakan rekod jenayah mendapati suspek kedua hingga keenam mempunyai rekod lampau, termasuk suspek keempat yang mempunyai 12 rekod kes dadah dan empat kes jenayah,” katanya.
Menurut Hussein, semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa lepas hingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Polis turut menyita aset sindiket bernilai RM140,000 yang terdiri daripada dua kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kenderaan utiliti sukan.



