Sindiket edar dadah dalam minuman berperisa bernilai hampir RM1 juta tumpas

POLIS menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang menggunakan minuman berperisa dalam botol sebagai taktik pengedaran selepas mengadakan tiga serbuan di sekitar ibu negara pada Rabu lalu, membabitkan rampasan keseluruhan bernilai RM978,857.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur berdasarkan risikan dan maklumat orang awam, serta menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun.

Beliau berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah rumah teres dan kereta di kawasan rumah itu, dipercayai digunakan untuk memproses dan menyimpan dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Dua lagi serbuan dilakukan di sebuah rumah dan kenderaan di lokasi berasingan, menghasilkan lebih banyak rampasan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Fadil berkata, antara dadah yang dirampas adalah cecair MDMA seberat 867,252 gram bernilai RM701,850; serbuk MDMA seberat 5,480.50 gram bernilai RM37,800; 190 kartrij vape cecair ketamin berjumlah 380 mililiter bernilai RM57,000 serta 306 batang rokok cannabis (ganja) seberat 304.97 gram bernilai RM30,600.

Turut dirampas adalah peket plastik lut sinar ketamin seberat 21 gram bernilai RM4,200; dadah jenis ekstasi seberat 5.28 gram bernilai RM500 serta pil Erimin 5, seberat 21.08 gram bernilai RM400.

Selain dadah, tambah Fadil, polis turut menyita sejumlah aset dianggarkan bernilai RM146,507 termasuk sebuah Mercedes-Benz, Honda City hatchback, rantai berwarna kekuningan, dua jam tangan serta wang tunai dan mata wang asing, menjadikan jumlah sitaan keseluruhan RM978,857.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek membawa dadah tersebut dari satu lokasi ke lokasi lain menggunakan kenderaan, manakala rumah dijadikan tempat simpanan dan pemprosesan sebelum dijual kepada orang awam tanpa sasaran khusus seperti kelab malam.

Dadah diproses dan dibungkus dalam minuman berperisa seperti anggur, teh hijau dan teh herba Cina, bagi mengaburi pihak berkuasa. Harga jualan bergantung kepada kandungan dan kualiti, malah ada yang mencecah ratusan ringgit, kata beliau.

Fadil dalam pada itu memberitahu, suspek direman tujuh hari bermula 8 hingga 14 Januari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tiada rekod jenayah.

Beliau turut menegaskan Polis Kuala Lumpur tidak akan berkompromi terhadap pengedar dadah dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di 012-208 7222.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img